suria

“Kita pun boleh bantu mereka” - Zulin Aziz ambil jalan tengah, seru artis berkemampuan hulur sumbangan

Zulin sarankan supaya tabung bantuan untuk artis yang pendapatan terjejas akibat PKP diperkenalkan.

SUSULAN timbul pelbagai pertikaian berhubung rayuan agar kerajaan membantu golongan artis yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Zulin Aziz tampil memberi saranan agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

Menurut Zulin, dia menyeru rakan artis yang berkemampuan supaya menolong satu sama lain dengan mewujudkan tabung bantuan untuk diberikan kepada yang memerlukan dalam kalangan penggiat seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Radin, Haniff guna duit gaji bantu anak seni terjejas PKP - “Kami bukan kaya, tetapi pernah merasa tiada”

"Apa kata kita sama-sama artis yang mana mampu, buat satu tabung bantuan untuk bantu sesama kita dalam industri yang benar-benar hilang pendapatan.

"Tak kira artis itu sendiri atau mereka yang di belakang tabir. Siapa-siapa yang nak bantuan boleh rujuk  pada sekian... sekian... Ha macam itu," kata Zulin di laman sosialnya.

Zulin memberi pandangannya mengenai isu bantuan khas untuk artis.

Rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat bekas penyampai radio Suria FM itu dan berharap semua pihak bersatu hati menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di Malaysia.

Sebelum ini, beberapa selebriti seperti Shuib, Black Hanifah serta Tomok menjadi mangsa kecaman netizen yang mempertikaikan tindakan mereka meminta kerajaan agar tidak melupakan golongan pekerja seni.

Selain netizen, pelakon kontroversi Zarina Anjoulie turut membantah rayuan agar bantuan khusus diperkenalkan kepada pekerja industri kreatif kerana inisiatif yang diperkenalkan untuk rakyat secara keseluruhan sudah memadai.

Kalau sorang sikit hulur bantuan, kita pun boleh bantu mereka insyaAllah.

ZULIN AZIZ

PELAKON

Menerusi laporan mStar pada Jumaat, penyampai radio Era FM iaitu Radin Amir Effendi dan Haniff bersama rakan mereka, Diyana Amir berbesar hati menggunakan sebahagian gaji bulan Mac untuk disumbangkan kepada orang yang memerlukan terutama pekerja seni.

Dalam pada itu, Zulin turut berpendapat bahawa lebih baik golongan anak seni membantu satu sama lain daripada meminta bantuan khas daripada kerajaan.

"Ini pendapat saya... instead of kita minta bantuan khas kerajaan, ramai antara kita yang mampu. Kalau seorang sikit hulur bantuan, kita pun boleh bantu mereka insyaAllah. Okay dak?" ujarnya.

Artikel Lain