suria

Diddy Hirdy (AF4) kongsi situasi Covid-19 di UK - “Kami kumur air garam, minum rebusan serai dan halia untuk tak nak sakit”

Diddy menetap di Uk sejak 2014 bagi menyambung pelajarannya dalam bidang muzik.

BEKAS peserta Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Diddy Hirdy berkongsi keadaan dia sekeluarga yang turut berhadapan dengan krisis penularan wabak Covid-19 di United Kingdom (UK).

Diddy, 35, berkata dia dan keluarganya hanya berada di rumah seperti yang disarankan kerajaan UK.

ARTIKEL BERKAITAN: Perdana Menteri UK positif Covid-19

Selain itu pemilik nama Syamsul Hirdi Muhid ini menggambarkan suasana di kawasan perumahannya kini sunyi sepi seperti 'ghost town' disebabkan masyarakat mematuhi arahan untuk tidak berada di luar rumah.

"Kami duduk saja di rumah ikut perintah kerajaan UK. Keluar pun seorang, kalau ada urusan penting atau nak beli makanan.

Diddy berkongsi situasi Covid-19 di UK.

"Nasib baik kedai runcit yang jual barang basah kat seberang jalan saja. Tapi apabila keluar, dah macam ghost town kat area kawasan rumah ni. Sunyi sepi!" katanya menerusi perkongsiannya di laman sosial.

UK merupakan antara negara yang mencatat kes tertinggi positif Covid-19 dan kematian yang meningkat secara mendadak hari demi hari.

Diddy berada di UK sejak 2014 bagi menyambung pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang pengajian Industri Muzik di Universiti Liverpool.

Sekitar 2017, Diddy sekali lagi menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik di University of Glasgow, Scotland.

Dalam pada itu, Diddy memberitahu sejak kebelakangan ini dia dan keluarganya mudah diserang penyakit.

Kami duduk saja di rumah ikut perintah kerajaan UK. 

DIDDY HIRDY

PENYANYI

Cerita Diddy, dia pernah mengalami sakit kepala selama seminggu serta masalah kesukaran bernafas sehingga kini.

"Setiap kali balik ke keluar rumah, mesti salah seorang akan rasa nak demam walaupun Diddy terus melulu masuk bilik air dan mandi.

"Diddy dah kena thumping headache selama seminggu. Selepas hilang sakit tu, ada rasa very mild breathing problem sampai sekarang.

"Kalau ada rasa nak sakit, cepat-cepat makan ubat, mandi, makan strepsil, kumur air garam, minum air rebusan serai dan halia dan apa sahaja cara yang ada untuk tak nak sakit," ujarnya.

Sementara itu kata Diddy talian kecemasan untuk kes Covid-19 di UK hanya boleh dihubungi jika seseorang itu mempunyai simptom penuh atau keadaannya sudah semakin teruk.

Diddy bersama isteri dan anak-anaknya.

"Kat sini kena call nombor untuk kes Covid-19 ni tapi kena ada full symptoms atau dah teruk baru la ambulance datang beri bantuan, belum tentu bawa terus ke hospital.

"Kita sendiri tak boleh pergi hospital dan kemudahan untuk dapatkan test tiada melainkan dah sakit teruk.

"Orang kat Malaysia patut bersyukur health care system kita masih lagi mampu berfungsi dengan baik setakat ini.

"Jadi, kami cuba menjaga kesihatan sebaik mungkin. Apa boleh buat, senyum je la," katanya.

Diddy Hirdy, Covid-19, UK

Artikel Lain