suria

“Tolong faham dan jangan gaduh-gaduh, benda simple saja” - Shuib rayu netizen ‘hadam’ permintaan golongan selebriti

Shuib tidak meminta bantuan untuk dirinya tetapi mewakili penggiat seni yang kurang bernasib baik.

"KAMI tak minta untuk kami," demikian tegas pelawak Shuib berhubung kenyataan beberapa rakan artis yang merayu agar kerajaan tidak meminggirkan golongan pekerja seni yang turut terjejas susulan lajutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 36, dia dan dua rakannya iaitu penyanyi Black Hanifah serta Tomok hanya mewakili artis veteran serta pekerja belakang tabir yang kehilangan sumber pendapat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku bawa Satria Neo buruk pun makan 'steak' dan udang galah la hari-hari” - Zarina Anjoulie tegur artis tak sedar diri minta bantuan

Shuib menjelaskan mereka bertiga tidak pernah mengharapkan sebarang bantuan seperti yang didakwa segelintir netizen namun bersyukur masih mempunyai rezeki untuk menyara keluarga.

Shuib memberi penjelasan di laman Instagram.

"Semuanya salah faham sahaja. Sebenarnya apa yang saya, Tomok dan Black cakap sebelum ini, kami mewakili penggiat seni, artis veteran dan yang bekerja di belakang tabir.

"Masa PKP ini sudah tentu mereka tak ada job. Tapi kita tengok, mungkin mereka juga layak dapat apa yang kerajaan berikan. Tapi kena faham yang saya, Black dan Tomok tak mengharapkan bantuan itu.

"InsyaAllah kami masih cukup makan dan pakaian untuk anak-anak serta keluarga. InsyaAllah ada lagi rezeki," kata Shuib.

Shuib memberi penjelasan tersebut menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram selepas menerima kecaman teruk daripada netizen sejak beberapa hari lalu.

InsyaAllah kami masih cukup makan dan pakaian untuk anak-anak serta keluarga.

SHUIB SEPAHTU

PELAWAK

Sebelum ini, Shuib dan penyanyi Black Hanifah serta Tomok menjadi mangsa kecaman netizen yang mempertikaikan tindakan mereka meminta kerajaan agar tidak melupakan golongan pekerja seni.

Dalam pada itu, Shuib memberitahu dia dan rakan-rakannya ada menjalankan tanggungjawab menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan namun enggan menghebahkan perkara itu kepada umum.

Kenyataan Black menyuarakan pendapat mengenai artis veteran dan pekerja belakang tabir disalah anggap.

Malah, suami kepada penyanyi Siti Sarah ini menyeru semua pihak yang berkemampuan untuk saling memberi bantuan kepada golongan anak seni yang kurang bernasib dalam keadaan krisis wabak Covid-19.

"Kami tetap jalan kerja kami, maksudnya mana yang boleh bantu, kita bantu. Tapi kita tak payah bercerita atau hebahkan sangat. Kami buat sebab dah jadi tanggungjawab.

"Siapa ada kemampuan, kita bantulah mereka yang memerlukan. Tak kan kita dah ada kemampuan, nak minta tolong pula... nak minta kerajaan tolong, itu yang salah.

"Tolong faham dan jangan gaduh-gaduh benda simple saja. Lebih baik kita bersatu padu, jaga diri kita dan pastikan kita berjaya memerangi Covid-19," ujarnya. 

Artikel Lain