suria

Ikut saranan kerajaan bendung Covid-19, Festival Filem Malaysia ke-31 ditangguh!

FFM31 ditangguhkan penganjurannya kerana wabak Covid-19.

BIMBANG dengan penularan wabak Covid-19, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah memutuskan untuk menangguhkan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 18 April depan.

Menurut kenyataan Finas kepada mStar, penangguhan tersebut selaras dengan saranan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan bagi membendung penularan wabak tersebut.

"Adalah dimaklumkan bahawa Finas amat prihatin dengan penularan jangkitan  wabak Covid-19 yang melanda negara dan telah memutuskan untuk menangguhkan penganjuran FFM31.

ARTIKEL BERKAITAN: Festival Filem Malaysia kembali, 67 filem bakal berentap rebut 32 kategori

"Finas mengambil cakna berhubung penularan Covid-19 ini dan segala program serta persiapan berkaitan FFM-31 yang melibatkan orang ramai akan ditangguhkan buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Finas memaklumkan tarikh baharu penganjuran FFM31 akan dimaklumkan kemudian.

Majlis sidang media FFM31 telah diadakan pada Januari lalu.

"Satu tarikh baharu penganjuran FFM31 akan dimaklumkan kemudian.

"Adalah menjadi tanggungjawab utama Finas sebagai penganjur untuk mematuhi keputusan kerajaan demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan semua pihak yang bakal terlibat dalam FFM31 ini," ujarnya.

Edisi kali ini, FFM31 membuat kelainan apabila akan bersiaran secara langsung di Encore Melaka pada 18 April ini.

Sebanyak 67 filem bakal berentap merebut 32 kategori yang dipertandingkan dengan mengangkat Inspirasi Sinemaku : Tanpa Sempadan sebagai tema bagi FFM edisi kali ini.

Karya yang dipertandingkan terdiri daripada 35 filem Bahasa Malaysia, 15 filem Mandarin dan Kantonis, 12 filem Tamil, empat filem animasi serta sebuah filem yang mewakili kategori lain-lain.

FFM31, Finas, Covid-19

Artikel Lain