suria

“Orang nampak saya solo, hakikatnya Screen belum terkubur” - Gmie sangkal dakwaan sudah berpecah!

Gmie sahkan kumpulan Screen masih lagi wujud dan tidak pernah berpecah.

MESKIPUN sering dilihat bergerak secara solo, vokalis kumpulan Screen iaitu Gmie memberitahu kumpulannya itu masih wujud dan tidak pernah berpecah.

Menurut Gmie atau nama sebenar Hajmi Ibrahim, 49, Screen masih lagi bertapak dalam industri seni, namun kesibukan kerja setiap ahli menyukarkan mereka untuk bersatu di pentas yang sama.

"Walaupun orang selalu nampak saya solo, tapi sebenarnya Screen masih ada... kita tak pernah terkubur atau berpisah sebabnya Screen ini adalah abang kami dan ia akan kekal wujud.

ARTIKEL BERKAITAN: Populariti Mendadak, Gmie Mula Dikunjungi Saudara-Mara

"Kami setiap ahli tak ada sebarang masalah, cumanya masing-masing sibuk dengan kerja tetap, itu sebab jarang datang berkumpulan tapi kalau ada persembahan yang sesuai kami akan datang sekali.

"Lagipun, semua anggota kumpulan Screen duduk satu kampung di Sijangkang, Selangor jadi kalau ada persembahan perlu semua hadir, kita akan cari masa sesuai untuk memenuhi permintaan penganjur," katanya kepada mStar.

Gmie seronok dan puas dapat hiburkan peminat.

Gmie ditemui semasa sidang media Expo Jom Niaga Jelajah Johor 2020 yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Khamis.

Gmie merupakan salah seorang penyanyi yang diundang menjayakan persembahan di 10 lokasi karnival di Johor yang akan bermula di Stadium Sultan Ibrahim, Muar pada 29 Januari ini.

Sementara itu, penyanyi lagu Bila Cinta Didusta ini berkata dia menerima tawaran nyanyian pada hujung minggu berikutan terikat dengan kerjaya tetap.

Saya memang minat menyanyi, jadi tak pernah rasa penat... bayangkan selama 35 tahun saya menyanyi!

GMIE

PENYANYI

"Saya masih lagi bekerja di sebuah syarikat logistik setiap hari Isnin hingga Jumaat dan hujung minggu pula sibuk dengan persembahan pentas.

"Memandangkan saya memang minat menyanyi, jadi tak pernah rasa penat... bayangkan selama 35 tahun saya menyanyi dah jadi darah daging dan sekurang-kurangnya dapat tambah pendapatan untuk keluarga.

"Cumanya saya kena bijak bahagikan masa dan ikut jadual yang telah disusun... kalau kita ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan, semuanya pasti akan dipermudahkan, Insya-Allah!," ujarnya.

Kumpulan Screen dianggotai oleh Gmie, One, Jeman dan Hashim.

Gmie, Screen

Artikel Lain