suria

Jangan memandai-mandai! Mawar tegur ‘orang terdekat’ tidak campuri urusan dengan Fizo

Mawar meminta orang terdekat tidak mencampuri urusannya dengan bekas suami, Fizo Omar.

BEKAS isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar Karim berharap tiada lagi mana-mana pihak membuat sebarang kenyataan tidak berasas yang hanya akan mengundang spekulasi mengenai penamatan operasi restoran Fizomawar Kitchen (FMK).

Peringatan Mawar itu turut ditujukan kepada individu terdekat dengan mereka kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Diharapkan sangat lepas ini tiada lagi cerita daripada mana-mana pihak terutamanya yang ada kaitan antara saya atau Fizo mengeluarkan status atau cerita di media sosial yang konon tahu cerita. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Banyak kenangan... mungkin ini jalan terbaik” - Fizo, Mawar Karim sepakat tutup restoran Fizomawar Kitchen

"Tidak perlulah orang terdekat mencampuri urusan saya dan Fizo. Anda hanya melihat, mendengar tetapi saya dan Fizo sahaja yang tahu dan merasa perkara yang sebenar.

"Erti kata lain, tidak perlu menuang minyak ke dalam api atau jangan menegakkan benang yang basah," katanya.

Restoran Fizomawar Kitchen ditutup hujung bulan ini.

Mawar menulis luahan tersebut menerusi Instagram miliknya pada Ahad.

Pada 11 Oktober lalu, Fizo mengesahkan restoran yang diusahakan bersama bekas isterinya itu akan menamatkan operasi pada hujung bulan ini.

Walaupun kami berdua sudah tiada kaitan lagi tapi masih ada amanah tanggungjawab membesar, memberi didikan kepada Maryam.

MAWAR KARIM

Bekas isteri Fizo Omar

Keputusan itu dicapai hasil perbincangan mereka dan penutupan dua cawangan FMK iaitu di Bangi, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan itu merupakan jalan terbaik selepas mereka berpisah.

Dalam pada itu, Mawar memberitahu dia turut menerima cadangan daripada pelanggan yang mahu restoran itu dijenamakan semula.

Mawar fokus dengan amanah membesarkan Maryam.

Bagaimanapun, usahawan tudung jenama Fareeda ini berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.

"Rata-rata saya mendapat feedback memberi pendapat rebranding restoran ini. Saya dan Fizo mempunyai alasan yang sangat peribadi. Terima kasih kalian yang sangat memahami situasi kami.

"Di sini juga terlalu peribadi untuk saya ceritakan berapa modal atau pelaburan yang telah saya dan Fizo keluarkan serta keuntungan pernah atau pun tidak pernah langsung saya terima selama empat tahun FMK.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga khususnya buat pelanggan yang sentiasa menyokong FMK selama ini," ujarnya.

Dua cawangan FMK di Selangor dan Kelantan ditutup.

Meskipun tiada lagi ikatan perhubungan, Mawar berkata dia dan Fizo akan terus memikul amanah bersama membesarkan anak mereka, Maryam yang kini berusia dua tahun.

"Walaupun kami berdua sudah tiada kaitan lagi tapi masih ada amanah tanggungjawab membesar, memberi didikan kepada Maryam. 

"Maryam pengubat hati saya selama ini. Terima kasih semua sentiasa mendoakan kebaikan. Semoga kita semua sentiasa diberkati dan dipelihara oleh-Nya!," katanya.

Fizo dan Mawar Abdul Karim bercerai pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor.

Mereka berkahwin pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam kini berusia dua tahun.

Mawar Karim, Fizo Omar

Artikel Lain