“Saya sudah lalui kehidupan broken family, tak mahu anak-anak rasai sama” - Hisyam Hamid tak terlepas dugaan dalam rumah tangga - Hiburan | mStar

“Saya sudah lalui kehidupan broken family, tak mahu anak-anak rasai sama” - Hisyam Hamid tak terlepas dugaan dalam rumah tangga

Hisyam Hamid enggan keluarga masuk campur hal rumah tangga. Foto: SHAARI CHEMAT

PELAKON Hisyam Hamid mengakui sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga ada masanya hubungan dia dan isteri diuji.

Hisyam, 33, bagaimanapun berkata dia lebih selesa duduk berbincang dengan isteri, Rosmawati Hanafi berbanding meminta bantuan kedua ibu bapa atau teman-teman.

"Alhamdulillah, sepanjang 13 tahun berkahwin kalau ada masalah, saya dan isteri cuba selesaikan sendiri sebab saya berpegang pada prinsip kalau happy berdua kenapa bila ada masalah tak nak berdepan berdua.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kekok bila ada isteri di set penggambaran, tapi dia faham” - Hisyam Hamid tambat hati isteri sebelum berlakon babak romantik

"Lain orang mungkin lain caranya, tapi bagi saya kalau ada masalah lebih selesa selesaikan berdua tanpa membabitkan orang lain termasuk keluarga.

"Kalau betul-betul dah tak boleh selesai mungkin masa itu baru saya akan minta pendapat orang lain yang lebih matang dan pernah melalui situasi sama," katanya kepada mStar.

Hisyam bersama keluarga tersayang.

Pelakon berasal dari Singapura ini berkahwin dengan Rosmawati pada 2 September 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 12, dan Hayden, 10 tahun.

Sementara itu, pelakon filem Dendam Pontianak ini berkata dia sentiasa berkomunikasi dengan isteri jika ada rasa tidak puas hati dan menyelesaikan masalah secepat mungkin.

Lain orang mungkin lain caranya, tapi bagi saya kalau ada masalah lebih selesa selesaikan berdua tanpa membabitkan orang lain termasuk keluarga.

HISYAM HAMID

Pelakon

Ujarnya, sebagai seorang suami dan bapa, dia tidak mahu masalah tersebut berlarutan sehingga membuatkan rumah tangga menjadi goyah.

"Saya pun bukanlah hebat sangat dalam hubungan ini cumanya saya selalu praktiskan komunikasi supaya ada persefahaman antara kami, kalau ada masalah selesaikan cepat-cepat.

Barisan pelakon filem Dendam Pontianak.

"Kalau dipendam akan lebih banyak kesan negatif. Saya hanya fikirkan keluarga dan anak-anak sebabnya saya sendiri datang dari broken family jadi dapat faham perasaan seorang anak tanpa ayah dan ibu di sisi.

"Saya dah lalui dahulu, jadi saya tak nak anak-anak lalui benda yang sama, selagi boleh berbincang kita cuba pertahankan," ujarnya.

Bercakap mengenai karier lakonan, Hisyam Hamid kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya berjudul Dendam Pontianak.

Filem arahan Glen Goei dan Gavin Yap sudah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada Khamis lalu.

Selain Hisyam, ia turut menampilkan pelakon Fazura, Remy Ishak, Namron, Wan Hanafi Su dan Nik Harraz Danish.

Hisyam Hamid

Artikel Lain