“Ardell Aryana hidap anxiety... depression agak teruk” - Nadzmi Adhwa jawab kutukan netizen konon isteri berlakon malu-malu - Hiburan | mStar

“Ardell Aryana hidap anxiety... depression agak teruk” - Nadzmi Adhwa jawab kutukan netizen konon isteri berlakon malu-malu

Ardell mengalami masalah anxiety serta kemurungan yang agak teruk dan kini masih dalam proses pemulihan. -Foto @amirnaufalphotography

VIDEO pelakon Ardell Aryana menggeletar ketika disarungkan cincin oleh suaminya, Nadzmi Adwa hangat diperkatakan netizen sehingga ada yang beranggapan ia sekadar lakonan untuk menarik perhatian ramai.

Komen-komen negatif seperti itu tentunya mengundang rasa kurang senang pasangan yang baru mendirikan rumah tangga ini kerana tentunya netizen tidak mengetahui kedudukan yang sebenar.

Susulan itu Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 27, tampil menjelaskan bahawa insiden yang ditonton orang ramai berkenaan berlaku disebabkan Ardell mempunyai masalah kebimbangan melampau (anxiety) serta kemurungan yang teruk dan kini masih dalam rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka mesra di luar tapi tak pernah bersentuhan” - Adik Nadzmi Adhwa sangkal aksi malu-malu sarung cincin hanya lakonan

"Untuk pengetahuan semua, isteri saya menghidap anxiety serta kemurungan yang agak teruk, dia masih lagi dalam proses rawatan serta pemulihan.

"Anxiety boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Bukan hanya pada hari pernikahan kami malah sebelum ini lagi apabila berada dalam kelompok yang ramai, isteri saya jadi terkejut sehingga menyebabkan panic attack.


Nadzmi tampil mempertahankan isterinya.

"Situasi itu boleh mengakibatkan dia black out, pitam dan sesak nafas," tulis Nadzmi menerusi laman Instagram miliknya.

Video Ardell dalam keadaan menggeletar ketika Nadzmi ingin menyarungkan cincin selepas diijabkabulkan pada Ahad lalu menarik perhatian netizen sehingga menjadi tular di laman sosial.

Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang beranggapan aksi malu-malu itu sekadar lakonan berikutan pasangan tersebut mempunyai hubungan rapat sebagai teman baik sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Dalam pada itu, Nadzmi mengakui dia dan isterinya kerap berjumpa namun ia pertemuan sebagai kawan baik dan rakan kongsi perniagaan sahaja.

Tegas Nadzmi, perasaan apabila berkawan dan menjadi suami-isteri sangat berbeza dan mereka berasa kekok apabila berhadapan dengan orang ramai selepas status berubah.

"Perasaan ketika berkawan dan perasaan bergelar suami isteri itu jauh bezanya.

Nadzmi berharap netizen mendoakan kebahagiaannya dengan isteri.

"Saya pasti detik itu terlalu berbeza setelah akad dilafazkan. Pada hari pernikahan kami berdua memang sangat kekok di hadapan orang ramai untuk sesi menyarung cincin.

"Gugup berhadapan orang ramai. Semua perasaan lega, takut, gembira, dan sedih bergabung yang menyebabkan kami mengigil untuk masuk ke fasa baru dalam hidup," katanya.

Nadzmi bagaimanapun mengakui dia dan isteri tidak mampu untuk menghentikan kata-kata negatif daripada sesetengah netizen namun berharap mereka dapat mendoakan yang terbaik.

Pasangan ini bernikah di kediaman keluarga Ardell yang terletak di Seri Kembangan, Selangor pada 1 September lalu selepas kira-kira lapan tahun mengenali antara satu sama lain.

Menerusi laporan mStar pada Isnin lalu, Ardell atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 29, memberitahu dia tidak menyangka teman baiknya yang dianggap seperti adik itu menjadi pasangan hidupnya.

Nadzmi Adhwa , Ardell Aryana

Artikel Lain