Fizo Omar sedih tak dapat jadi wali adik perempuan,“Dah lama rancang nak sama tarikh tapi perancangan Allah lebih baik” - Hiburan | mStar

Fizo Omar sedih tak dapat jadi wali adik perempuan,“Dah lama rancang nak sama tarikh tapi perancangan Allah lebih baik”

Fizo bangga adik bongsunya sentiasa bekerja keras untuk membalas jasa ibu dan adik beradik yang menjaganya.

PELAKON dan usahawan Fizo Omar meluahkan rasa sedih apabila dia tidak dapat menjadi wali kepada adik bongsunya, Nini Adila yang melangsungkan majlis pernikahan pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Fizo, 34, berkata dia sudah memastikan segala urusan majlis adik perempuannya itu berjalan dengan lancar biarpun tanpa dirinya yang kini sedang mengerjakan ibadah haji.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau dah mampu, tak perlu ditangguh lagi” - Perjalanan haji insafkan Fizo Omar

"Sedih VS bangga. Sebagai seorang abang dan 'bapa' kepada adik bongsu perempuan dan sepatutnya menjadi walinya, aku rasa sedih sebab tak boleh ada sekali ketika majlis berbahagianya.

"Dah lama rancang nak sama tarikh, tapi perancangan Allah lebih baik, dia jemput aku jadi tetamuNYA pada tahun ini. Jadi aku serah saja pada Allah dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Fizo bersama keluarganya sebelum terbang untuk mengerjakan ibadah haji.

"Adik bongsu yang aku sayang @nini.adila dah pun selamat diijabkabulkan," kata Fizo menerusi laman Instagram miliknya.

Difahamkan majlis pernikahan adik perempuan Fizo itu dengan pemuda bernama Khai telah diadakan di Masjid Besi Presint 3, Putrajaya pada Ahad lalu.

Pemilik nama Wan Hafizol Wan Omar sebelum ini tiba di Jeddah pada 7 Ogos lalu dan mengakui pengalaman yang diperolehnya sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu memberikan keinsafan pada dirinya.

Dalam pada itu, bekas suami kepada usahawan Mawar Abdul Karim ini memberitahu dia masih ingat pesanan arwah bapanya yang meminta untuk menjaga serta membimbing adiknya sehingga sudah berkahwin.

Aku bangga dengan adik bongsu aku ni. Siang malam dia usaha sebab dia nak balas balik jasa mak dan adik beradik yang jaga dia selama ni.

Fizo Omar

Pelakon dan usahawan

Kata Fizo, dia turut berbangga dengan adik bongsunya itu yang sentiasa bekerja keras untuk membalas jasa ibu dan adik-beradik mereka yang selama ini menjaganya.

"Lepas arwah ayah pergi pada 2011, aku dan @wanzack83 lah abang dan ayah kepada adik-adik dan keluarga. Pesan arwah, jaga adik elok-elok dan bimbing dia sampailah dia dah kahwin nanti.

"Itulah tanggungjawab seorang abang. Aku bangga dengan adik bongsu aku ni. Siang malam dia usaha sebab dia nak balas balik jasa mak dan adik beradik yang jaga dia selama ni.

"Aku percaya pasangan pilihan dia ni akan membimbing dan membawa adik aku ke syurga. Tahniah untuk anda berdua. Sampai Jannah. Abe (abang) sayang adik. Selamat datang ke keluarga kami, Khai," ujarnya.

Fizo Omar

Artikel Lain