“Saya kecewa polis nafi anak terlibat dalam kemalangan” - Eizlan Yusof tunjuk laporan perubatan - Hiburan | mStar

“Saya kecewa polis nafi anak terlibat dalam kemalangan” - Eizlan Yusof tunjuk laporan perubatan

Eizlan mahu polis membuat permohonan maaf berhubung kemalangan kenderaan membabitkan anaknya baru-baru ini.

PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof kecewa dengan kenyataan polis yang menafikan anaknya, Zareef Yusof Idris, 9, terlibat dalam kemalangan di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pada Khamis lalu.

Menurut Eizlan, 48, kegagalan polis melakukan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu memberi gambaran buruk terhadap dia anaknya kerana dianggap menipu berhubung insiden berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Eizlan Yusof terbabit kemalangan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran 'Mak Cun'

"Saya mempunyai bukti dan pengesahan perubatan daripada Hospital Tunku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam bahawa Zareef terlibat dalam kemalangan berkenaan. Bagaimana polis boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Zareef tidak terlibat dalam kemalangan itu?

Eizlan adakan sidang media berhubung kemalangan yang berlaku membabitkan anaknya.

"Saya kecewa apabila polis menafikan anak saya terlibat dalam kemalangan dan perkara itu memberikan gambaran negatif terhadap saya, anak dan kru penggambaran. Saya tuntut polis melakukan permohonan maaf dalam semua platform media cetak dan elektronik sebelum 31 Julai ini," katanya.

Dalam pada itu, Eizlan menegaskan sekiranya pihak polis gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh yang dinyatakan, dia tidak teragak-agak untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah.

"Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini. Apa yang saya tuntut mudah iaitu mahu mereka membuat permohonan maaf. Sekiranya gagal, saya dengan berat hati terpaksa membawa isu ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Erma Fatima sahkan kemalangan membabitkan Zareef dan ibu saudaranya.

Pada 11 Julai lalu, media melaporkan Zareef yang turut berada dalam kereta Toyota Vios yang dipandu ibu saudaranya, Nur Zuriati Mohd Rijaluddin, 23, terlibat dalam kemalangan.

Semasa kejadian pada pukul 8 pagi, mereka dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama bersiri Mak Cun bertembung dengan sebuah Proton Wira.

Sementara itu, pengarah serta penerbit drama Mak Cun, Erma Fatima mengesahkan bahawa Zareef yang juga anak Eizlan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Sebelum itu, Kosmo! melaporkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon yang menafikan penglibatan Zareef dalam kemalangan tersebut.

Ia berikutan ibu saudara Zareef iaitu Nur Zuriati tidak menyebut nama kanak-kanak itu dalam laporan polis yang dibuat selepas kejadian.

Eizlan Yusof , Zareef Yusof , Erma Fatima

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

“Saya OK Muhyiddin jadi PM” – Tun M

Model buta sebelah kerana tatu mata

6 polis cedera helikopter terhempas