suria

Aalan bukan lagi pengurus Zamani, sedia berdepan dengan tindakan

Bekas pengurus dikatakan masih memegang akaun Instagram rasmi milik Zamani.

PENGURUS artis Aalan Ahmad mengakui dia tidak lagi menguruskan kerjaya penyanyi Zamani sejak dua bulan lalu.

Aalan yang mengakui terdapat beberapa konflik antara dia dan penyanyi itu berkata, dia enggan mengulas lanjut perkara berkenaan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kesihatan kurang baik, Zamani tak tahu sampai bila boleh menyanyi

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani sedar suara hilang sebelum konsert, belum tentu sertai GV5 minggu depan

"Saya tidak dapat jelaskan situasi pengurusan Zamani buat masa sekarang, isu pemilikan akaun rasmi Instagram Zamani juga hanya akan dijelaskan apabila tiba waktu yang sesuai kelak.

"Kami sedaya upaya cuba menyelesaikan isu ini tanpa membabitkan kes mahkamah dan campur tangan pihak berkuasa," kata Aalan.

Zamani bersama Aalan semasa menyertai program Gegar Vganza musim kelima tahun lalu.

Terdahulu, desas-desus pergolakan pengurusan penyanyi lagu Syair Si Pari Pari ini timbul apabila Aalan tidak menjayakan beberapa promosi single baharu Zamani.

Selain itu, Zamani menerusi sebuah program hiburan mendakwa Aalan tidak menyerahkan semula akaun Instagram rasmi milik penyanyi itu biarpun bukan lagi pengurusnya.

Dalam pada itu, Aalan berkata, dia bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh penyanyi itu.

Kali terakhir akaun Instagram Zamani dikemas kini ialah pada Mei lalu.

"Saya juga maklum tentang kenyataan yang dibuat Zamani dalam sebuah program hiburan minggu lalu, namun semuanya terpulang kepada dia (Zamani) jika benar-benar mahu mengambil tindakan seperti yang didakwa.

"Saya tiada masalah dan sedia menghadapi apa sahaja tindakan lanjut," tambahnya.

Pada November 2018, pengurusan kerjaya Zamani menjadi kontroversi apabila pembabitannya dalam program Gegar Vaganza 5 dipersoalkan oleh bekas pengurusnya iaitu Johan Aziz.

Bagaimanapun, Zamani membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada Aalan terutama dalam menguruskan perjalanan sepanjang program realiti berlangsung.

zamani

Artikel Lain