suria

Zamani sedar suara hilang sebelum konsert, belum tentu sertai GV5 minggu depan

Zamani belum membuat keputusan untuk terima imuniti atau menarik diri daripada GV5. Foto: CHAN TAK KONG.

PENYANYI Zamani masih mempertimbangkan peluang yang diberikan pihak Astro untuk dia meneruskan persembahan pada konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) minggu hadapan.

Menurut pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad, pihaknya belum membuat keputusan untuk menerima tawaran imuniti kerana ingin melihat keadaan penyanyi itu dalam masa beberapa hari lagi.

"Buat masa sekarang ini, Zamani masih dalam proses berehat. Dia masih belum buat keputusan sama ada mahu menerima tawaran imuniti itu atau tidak.

"Jadi, ada kemungkinan dia tarik diri atau mungkin meneruskan persembahan. Bergantung pada keadaan kesihatannya dalam beberapa hari ini," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Peti suara koyak punca Zamani 'membisu' di pentas GV5


Jihan dan Nabil memberi sokongan kepada Zamani. Foto Instagram: @astrogempak.

Aalan diminta mengulas bagi pihak Zamani mengenai peluang imuniti yang diberikan oleh penaja utama GV5 iaitu Datuk Seri Aliff Syukri.

Dalam persaingan minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zamani gagal membuat persembahan menerusi lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta kerana peti suaranya koyak.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini terselamat dari penyingkiran dan berpeluang untuk berentap di pentas minggu keenam GV5.

Tambah Aalan, biarpun Zamani sudah menyedari suaranya mula hilang pada petang sebelum konsert namun dia tampil membuat persembahan kerana ingin mengelakkan daripada salah faham yang akan berlaku.

"Sebenarnya lebih kurang 3.30 petang Zamani sampai dewan, dia masih lagi okey tapi secara tiba-tiba petang ketika sesi latihan suara dia semakin hilang.

Zamani kini berehat untuk beberapa hari.

"Tapi memikirkan tidak mahu ada salah faham berlaku sekiranya tak muncul di pentas, dia gagahkan diri untuk teruskan persembahan biarpun ketika itu suaranya sudah tiada.

"Dia tak nak orang kata bukan-bukan kalau tak buat persembahan. Tidak ada niat untuk malukan diri atau meminta simpati daripada mana-mana pihak," ujarnya.

Dalam pada itu, Aalan turut menjelaskan status yang dimuat naik bekas pengurus Zamani, Johan Aziz yang mengatakan penyanyi itu mahu menarik diri namun pihak produksi tidak mengendahkan adalah tidak benar.

Kata Aalan, isu tarik diri itu pernah timbul sebelum bermulanya konsert GV5 namun Zamani sudah bersetuju dengan pihak Astro untuk menerima tawaran menjadi peserta program tersebut.

"Saya ingin jelaskan bahawa kenyataan Johan Aziz yang mengatakan Zamani ingin menarik diri tetapi pihak produksi tidak ambil peduli itu sememangnya tidak benar.

"Zamani tidak pernah keluarkan kenyataan ingin menarik diri. Tapi memang isu itu sudah lama timbul sejak sebelum konsert bermula lagi.

"Sebelum Zamani setuju nak sertai GV5, dia sudah beberapa kali berjumpa dengan pihak Astro dan berbincang. Jadi tiada pun isu tarik diri itu," katanya yang mengesahkan dia kini menguruskan Zamani dan bukan lagi Johan.

Zamani

Artikel Lain