suria

Izam EYE diserang angin ahmar, emosi terganggu... “Dia banyak menangis, bimbang menyusahkan kami dan anak-anak”

Keadaan kesihatan Izam EYE semakin baik.

KEADAAN kesihatan bekas penyanyi kumpulan EYE, Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 51, yang diserang angin ahmar pada Isnin mula beransur pulih.

Bagaimanapun menurut isteri keduanya, Rosmawati Hassan, pergerakan Izam masih terbatas dan dia tidak boleh berdiri serta memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

ARTIKEL BERKAITAN: Silap besar Izam (EYE) masuk Gema Gegar Vaganza

ARTIKEL BERKAITAN: Ezam (EYE) Hilang 13 Tahun Kerana Sertai Tabligh

"Dia baharu sahaja dipindahkan ke wad dari zon kritikal sebelum ini.

"Alhamdulillah, keadaan dia semakin baik berbanding semalam tetapi bacaan darah dan kencing manis masih tinggi. Semalam bacaan darah tinggi mencecah 210, hari ini sudah turun ke 151.

"Tetapi pergerakan dia masih lagi lemah, belum boleh angkat tangan dan tak boleh berjalan. Setakat ini dia hanya boleh duduk. Kalau hendak ke bilik air, dia memerlukan kerusi roda," jelasnya ketika dihubungi mStar.

Izam EYE dikejarkan ke hospital selepas rebah di ruang tamu kediamannya.

Bercerita lanjut mengenai keadaan Izam, Rosmawati memberitahu emosi suaminya itu agak terganggu sebaik dimaklumkan menghidap angin ahmar.

"Dia jadi begitu sedih selepas diberitahu menghidap angin ahmar.

"Dia siap berpesan agar kami (isteri pertama dan kedua) untuk duduk sebumbung untuk saling menjaga sesama sendiri dan menjaga anak-anak sekiranya berlaku apa-apa yang tak diingini.

"Ya lah, apabila dah sakit dan tak boleh bangun, macam-macam yang difikirkannya. Dia banyak menangis kerana bimbang akan menyusahkan kami dan anak-anak," katanya.


Izam merupakan salah seorang peserta dalam gema Gegar Vaganza musim pertama.

Dalam pada itu, Rosmawati berkata Izam juga perlu menjalani beberapa sesi rawatan susulan selain terpaksa mengambil ubat-ubatan.

"Setakat ini saya fokus pada rawatan susulan terlebih dahulu.

"Dia perlu menjalani beberapa sesi fisioterapi selain perlu mengambil ubat," katanya.

Terdahulu, Izam dikejarkan ke Hospital Serdang akibat serangan angin ahmar selepas pulang dari Kuantan, Pahang pada Isnin.

Izam dikatakan berada dalam keadaan lemah dan rebah di ruang tamu kediamannya selepas mengalami kebas-kebas pada bahagian badan.

Izam EYE, angin ahmar

Artikel Lain