Dulu nikah di surau, kali ini Kak Lina Pom Pom nak kahwin meriah... “Kebetulan bakal suami pun tak pernah berkahwin” - Hiburan | mStar

Dulu nikah di surau, kali ini Kak Lina Pom Pom nak kahwin meriah... “Kebetulan bakal suami pun tak pernah berkahwin”

Elly rancang untuk berkahwin pada tahun depan dengan pemuda berusia 28 tahun.

PENYANYI dan pengacara Elly Mazlein mendedahkan akan menamatkan status janda apabila merancang untuk berkahwin pada tahun depan dengan seorang lelaki berusia 28 tahun.

Menurut Elly kegagalan dalam perkahwinan terdahulu tidak membuatkan dia serik untuk menerima kehadiran lelaki sebagai pasangan hidup.

"Boleh dikatakan saya wanita yang paling bahagia sekarang. Sejujurnya saya rasa tak sabar nak tunggu hari tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Impian saya mahu solat dengan suami”- Elly Mazlein bakal akhiri zaman janda dengan orang Kelantan

"Tetapi saya perlu move on dan terus muhasabah diri serta tak mahu terus menjatuhkan hukum terhadap bakal suami.

"Saya percaya soal jodoh dan dugaan masing-masing. Kalau ada rezeki, saya pilih untuk berkahwin pada tahun hadapan," katanya kepada mStar.

Elly Mazlein mahu perkahwinan kali ini lebih meriah.

Elly atau lebih mesra menggelarkan dirinya Kak Lina Pom Pom ditemui pada majlis pelancaran program realiti muzikal komedi terbaharu, Muzikal Lawak Superstar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Elly memberitahu dia mengimpikan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang lebih besar dan meriah.

"Saya anggap ini sebagai perkahwinan yang pertama buat diri saya. Apa sahaja yang saya tak pernah rasa sebelum ini, saya akan buat dalam majlis kali ini.

"Perkahwinan sebelum ini berlangsung ketika mama saya baharu sahaja meninggal dunia. Majlis pun dibuat di surau sahaja. Kalau boleh kali ini saya teringin nak rasa yang meriah sedikit. Kebetulan bakal suami pun tak pernah berkahwin,” katanya.

Bercerita lanjut, Elly berkata dia begitu teruja menantikan hari bahagianya itu lebih-lebih lagi apabila anak perempuannya Sephia juga sangat selesa bersama lelaki pilihannya itu.

"Saya sangat teruja untuk perkahwinan kali ini kerana Sephia pun sangat menyayangi dan keluarga pun menerimanya.

"Benarlah rancangan Allah dah susun begitu cantik. Selepas rezeki yang mencurah-curah kini dipertemukan pula dengan jodoh yang baik.

"Selebihnya saya akan maklumkan kemudian. Saya pasti akan kongsikan berita gembira ini kepada rakan-rakan semua. Kita tunggu masa yang sesuai. Mungkin malam berinai nanti saya akan dedahkan wajah sebenar si dia,” katanya.

Elly Mazlein

Artikel Lain