suria

Gara-gara sup ayam, rumah Diana Amir hampir terbakar... “Syukur Allah selamatkan keluarga kami kali ini”

Akibat terlupa sedang menghangatkan lauk di dapur hampir menyebabkan kebakaran di rumah. Foto Instagram @dianaamir

GARA-GARA terlupa sedang memanaskan lauk di dapur, kediaman pelakon Diana Amir hampir terlibat dalam kebakaran.

Menurut Diana, dia dan keluarganya yang sedang tidur di tingkat atas terjaga selepas terhidu bau asap.

"Rumah saya hampir terbakar malam tadi, Diana nak panaskan sup ayam dan sepatutnya kena padam api sebelum naik tidur.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Tinggalkan Kerjaya Pensyarah Demi Diana Amir

"Kesilapan besar saya... saya macam tak apa biarlah sekejap tapi keluar je dari dapur saya terus lupa tengah panaskan lauk. Saya tutup semua lampu macam biasa, angkat Khadija yang dah tidur naik atas dan letak dia atas katil, lalu saya tidur juga.

"Saya terbangun sebab terdengar Khadija buat bunyi, semenjak ada baby memang tidur ringan, jadi ada bunyi sikit memang saya bangun, lepas itu bau sesuatu, mamai-mamai jadi saya macam pelik siapa buat BBQ. Kejutkan Habib (suami) tanya, ada bau apa-apa tak, dia kata tak!," cerita Diana.

Perkongsian Diana Di Instagram.

Pelakon drama Cinta Ilahi ini berkongsi mengenai kejadian itu menerusi Instagram pada Rabu.

Dalam keadaan mencemaskan itu, Diana memberitahu dia mula teringat mengenai lauk di dapur dan meminta bantuan suaminya untuk memadamkan api.

"Tiba-tiba saya teringat fasal sup ayam tu, terus saya lari turun bawah, panggil Habib beritahu asap dah tebal sangat kat bawah, dekat dapur memang tak nampak apa... tapi tak nampak ada api, asap saja.

"Habib masuk dapur, tak tahu apa dia buat, saya lari naik atas sebab Khadija dan Khalid dah terbangun menangis cari saya dan asap mula masuk (bilik) perlahan-lahan.

"Saya tutup pintu bilik tidur dan buka semua tingkap tapi tak boleh turun bawah sebab sangat-sangat kuat asap dia. Habib adalah hero dan saya mempercayai dia. Dia keluarkan semua asap dengan buka semua tingkap," katanya.

Diana bersama suami dan tiga cahaya mata mereka.

Dalam pada itu, Diana bersyukur kerana tiada sebarang kebakaran berlaku dan keadaan dapat dikawal dengan segera.

Malah, dia turut menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan akan lebih berwaspada jika menggunakan api di dapur.

"Syukur Allah selamatkan keluarga kami kali ini. Ia tidak akan berlaku lagi. Saya janji, InsyaAllah saya akan selalu beringat benda-benda begini dan saya harap dengan perkongsiaan ini sesiapa yang membaca akan jadikan pengajaran.

"Alhamdulillah diberi peluang kedua untuk kami, ada pelbagai kemungkinan tapi Allah bagi amran je, lain kali penat macam mana pun periksa habis-habis semua benda sebelum tidur, pastikan semuanya selamat," ujarnya.

Terdahulu, Diana atau nama sebenar Nurdiyana Amir Hisham, 32, mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Habibullah A. Rahman pada 25 Oktober 2013.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Khaulah Al Azwar, 4, Khadija Azzehra, 2, dan Muhammad Khalid Al Habib pada November 2018.

Diana Amir

Artikel Lain