suria

Tak harap tawaran semata-mata... 6 artis ini sedia ‘back up plan’!

Ramai artis menjalankan perniagaan sebagai back up plan jika tawaran lakonan atau nyanyian kurang.

LUAHAN pelakon Reza Hasbi yang tidak menerima tawaran berlakon hingga menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga telah menarik perhatian netizen dan penggiat seni.

Antara yang turut mengulas kenyataannya itu ialah penerbit, Datuk A. Aida yang mencadangkan agar pelakon itu berusaha dan mencuba dalam bidang lain seperti perniagaan.

Pandangan A.Aida yang dikongsikan menerusi artikel mStar pada Jumaat lalu menerima komen baik pembaca yang turut bersetuju supaya artis tidak terlalu bergantung harap terhadap lakonan semata-mata, sebaliknya mencari rezeki dalam bidang yang lain.

Justeru itu, mStar ingin menyenaraikan enam anak seni yang memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian dan lakonan, namun turut memberikan fokus dalam bidang perniagaan.

1. Ayu Damit

Juara program realiti One In Million musim kedua, Ayu Damit kini meraih pendapatan lumayan dengan mengusahakan ladang cili di atas tanah seluas 1.4 hektar di Hulu Langat.

Dia dan suami mula menjalankan perniagaan itu kira-kira tiga tahun yang lalu dan kini mampu menjana pendapatan hasil tanaman tersebut.

Walaupun begitu, Ayu memberitahu dia masih menerima tawaran persembahan dan nyanyian. Namun, kerja keras yang dilakukan ini adalah untuk anak-anak dan keluarga.

2. Hanez Suraya

Wajahnya jarang muncul di televisyen sejak bergelar isteri pada tahun 2015 , namun dalam diam dia menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan suami semata-mata.

Menurut Hanez, dia sebenarnya masih menerima tawaran lakonan namun memilih untuk fokus dengan perniagaan yang baru diceburi iaitu pelembap bibir, Cake Pop.

Tambah Hanez, menjalankan perniagaan dalam masa yang sama juga dapat memberikan fokus terhadap keluarga.

3. Beego

Kurang mendapat tawaran berlakon sejak tahun lalu, pelakon Beego kini mencuba pelbagai jenis perniagaan makanan.

Menerusi laporan sebuah portal baru-baru ini, Beego turut memaklumkan dia menjadi pengedar buah durian untuk jualan sepanjang bulan ramadan.

"Bukan merajuk dari dunia lakonan cuma tawaran sudah makin kurang. Sebagai pelakon lama saya perlu cari back up untuk masa depan. Jadi saya mencuba pelbagai pekerjaan termasuklah menjadi pembekal buah durian," katanya.

4. Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah

Tidak sekadar menanti tawaran lakonan semata-mata, pasangan pelakon ini juga fokus mengusahakan perniagaan produk kecantikan.

Menerusi produk Vermillion by Ezzaty Abdullah, Ezzaty sibuk menguruskan produknya itu dan mengadakan jualan di bazar-bazar seluruh Lembah Klang sempena bulan Ramadan.

Meskipun agak terkejar-kejar menguruskan perniagaan dan lakonan, namun dia berasa puas dan mengharapkan perniagaan ini akan terus berkembang maju.

5. Lia Natalia

Pelakon Lia Natalia tidak berasa bimbang namanya masih belum dikenali ramai biarpun sudah lapan tahun berada dalam bidang seni.

Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden, 27, berkata dia bersyukur masih diberi peluang dan tawaran untuk berlakon sehingga kini walaupun menyedari dirinya tidak popular.

Justeru itu dia mula terbabit dalam perniagaan menjual kasut wanita kerjasama dengan Theflickstore dan jualan produk kosmetik sebagai 'back up plan'.

6. Ezany Nizariff

Ezany telah memulakan perniagaan pada tahun 2011 dengan menjual produk makanan yang mana ketika itu namanya masih meniti di bibir penerbit dan pengarah.

Sehingga kini, dia mengusahakan pelbagai peniagaan termasuk produk kecantian dann memberitahu hanya akan mengambil tawaran lakonan sekiranya mempunyai masa terluang kerana bidang lakonan sudah sebati dengan dirinya.

Sebenarnya ramai lagi selebriti yang memiliki perniagaan sendiri dan tidak hanya bergantung harap pada bidang lakonan atau nyanyian semata-mata.

Mereka mula sedar dalam bidang seni ini tiada jaminan bahawa tawaran itu selalu ada dan saban hari wajah baharu akan muncul memeriahkan industri.

Justeru itu, mereka harus menyediakan perancangan awal sebagai 'back up plan' jika karier seni mereka dilupakan satu hari nanti.

Artikel Lain