suria

Tidak menyindir mana-mana pihak tapi ia realiti apa yang kita lalui - Mawi

Mawi ada memasukkan beberapa babak mengenai kehidupannya selepas menjuarai Akademi Fantasia 3 pada 2005 menerusi filem Tiada Tajuk. Foto: GLENN GUAN.

PELAKON dan pengarah filem, Mawi menjelaskan filem pertama arahannya iaitu Tiada Tajuk  tidak menyindir mana-mana pihak.

Mawi, 38, berkata ada beberapa babak dalam filem itu merupakan pengalamannya sendiri ketika menjadi fenomena pada 2005 selepas menjuari Akademi Fantasia 3 (AF3).

"Filem ini lebih kepada rekaan sahaja. Tak ada sindir siapa-siapa. Ada juga beberapa babak daripada kisah saya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tiada Tajuk’ judul filem pertama arahan Mawi


Barisan pelakon filem Tiada Tajuk.

"Babak ketika balik kampung. Kalau ikutkan waktu itu, peminat tarik topi dan baju saya. Memang kisah betul yang berlaku di depan mata saya sendiri.

"Dari situ saya visualkan dan masukkan dalam filem saya. Sebenarnya filem ini adalah realiti apa yang kita lalui," kata Mawi kepada mStar Online.

Mawi ditemui ketika malam tayangan filem Tiada Tajuk di MM Cineplex, E@curve, Damansara, Petaling Jaya pada Rabu.

Sementara itu, pelakon filem Munafik 2 ini mengakui kos pembikinan filem itu dikeluarkan oleh isterinya, Nora'Asikin Rahmat atau Ekin.

Bagaimanapun, Mawi enggan berkongsi jumlah keseluruhan pembikinan filem terbitan Mawi World Entertainment itu.

Isteri Mawi, Ekin sebagai penerbit filem pertamanya.

"Jumlah keseluruhan kos pembikinan tak perlulah tahu tapi biasalah buat filem memang besar. Sejujurnya memang kos semua adalah daripada duit isteri saya, Ekin.

"Saya bentangkan idea pada dia. Mula-mula dia tanya cerita apa yang saya nak buat dan pesan jangan buat cerita syok sendiri.

"Tapi saya yakinkan dia masa buat skrip selama dua tahun juga. Siap satu babak, saya akan tunjuk dia. Alhamdulillah dia setuju dan suka," ujarnya.

Selain Mawi, filem arahannya itu turut dibintangi oleh Along (Cham), Hazama dan Joey Daud yang akan mula ditayangkan di 100 pawagam bermula 4 April depan. 

Mawi, Tiada Tajuk

Artikel Lain