Bukan buat pandai, Amira Othman rujuk ustaz dulu sebelum jawab soalan agama

KERAP menerima pertanyaan berkaitan agama daripada peminat di laman Instagram, penyanyi Amira Othman memberitahu dia ada merujuk beberapa orang pakar berhubung isu yang tidak difahaminya.

Menurut Amira, 26, dia bimbang jika jawapan yang diberikan itu tidak tepat dan sensitif sehingga menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak.

"Apabila diajukan soalan berkaitan agama, sejujurnya saya takut nak jawab sebab saya bukan pakar, sebab itu kebanyakan soalan saya akan rujuk ustaz dan ustazah terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Amira Othman sanggup tahan kentut demi menjaga wuduk dan memudahkan solat

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab Amira Othman sepi selama setahun

"Ada sesetengah soalan yang peminat tanya, saya rasa nak jawab tapi takut sensitif, jadi saya tanya pendapat pakar agama dahulu sebelum kongsi.

"Sejujurnya saya seronok berkongsi ilmu dengan peminat sebab ia secara tidak langsung mengingatkan diri sendiri sebab iman kita ini pun ada turun naik," katanya kepada mStar Online.

Barisan pelakon filem Tiada Tajuk.

Amira ditemui semasa tayangan perdana filem Tiada Tajuk yang diadakan di MM Cineplex, E@Curve Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Hati-Hati ini berkata perkongsiannya itu bukanlah berniat untuk menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya, dia hanya ingin bertukar ilmu sesama peminat dan berharap mampu memberikan kesan positif kepada mereka.

"Saya harap tiada yang melabelkan saya sebagai orang yang sangat baik sebab takut apa-apa akan berlaku pada masa akan datang.

Amira dan adiknya, Irfan Haris muncul dengan single baharu berjudul Sambil.

"Sebagai anak seni, secara tak langsung saya mahu berikan sesuatu yang akan meninggalkan kesan positif dan baik kepada masyarakat.

"Dalam masa sama, apa yang saya kongsi itu akan saya simpan dan jadi ingatan untuk diri sendiri," katanya.

Bercakap mengenai filem Tiada Tajuk, Amira membawakan watak Cahaya iaitu seorang gadis yang memiliki ilmu agama yang tinggi.

Selain Amira, filem ini turut dibintangi oleh Mawi, Joey Daud, Along Cham, Hazama dan Johan Asari.

Filem pertama arahan Mawi ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 April depan.

Artikel Lain