suria

Konsert Maher Zain di Johor batal akibat pencemaran udara

Maher Zain

KONSERT Jelajah Malaysia Maher Zain  2019 di Pasir Gudang yang dijadual berlangsung pada Jumaat dibatalkan berikutan keadaan berbahaya akibat udara yang tercemar oleh bahan kimia.

Menurut kenyataan sekretariat Jelajah Malaysia Maher Zain pada Khamis, pembatalan itu tidak dapat dielakkan oleh sebab menjadi tanggungjawab mereka selaku pengurusan konsert untuk memastikan keselamatan peminat, kru dan artis yang membuat persembahan.

“Kami mendoakan keselamatan mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat bencana ini. Selaku penganjur, kami berkongsi kekecewaan bersama semua peminat Maher kerana pembatalan ini dan akan bekerjasama dengan ejen tiket bagi memastikan bayaran balik daripada pembelian tiket dibuat dengan segera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peminat yang membeli tiket daripada kaunter atau pejabat fizikal perlu mengemukakan salinan tiket yang diimbas bersekali dengan butiran bank kepada [email protected] sebelum 30 Mac ini.

“Bagi tiket yang dibeli daripada TixMalaysia, bayaran balik akan dikredit ke dalam kad kredit sebelum 30 Mac. 

"Kedua-dua proses bayaran balik ini akan mengambil masa 14 hari bekerja atau sebagai pilihan, peminat juga boleh menukarkan tiket mereka dengan tiket di lokasi  Jelajah Malaysia Maher Zain yang lain sama ada di Pulau Pinang atau  Sabah dengan menghantar email kepada [email protected],” jelas kenyataan itu.

Penganjur turut memberi jaminan konsert yang dijadual di dua lagi venue iaitu Pulau Pinang dan Sabah akan diteruskan seperti dirancang.

Setakat ini, 506 orang mendapatkan rawatan, termasuk 166 yang dimasukkan ke hospital manakala sembilan orang lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi  akibat terdedah kepada pencemaran toksik akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Khamis lepas.

Kesemua 111 sekolah di  Pasir Gudang, Johor, diarah tutup berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Kami doakan keselamatan mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat bencana ini,” katanya. - BERNAMA

Maher Zain

Artikel Lain