suria

Kehidupan sebenar Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Sissy Imann didedah dalam ‘The House’

Dari kiri; Wani Kayrie, Sissy Imann dan Sarah Suhairi akan mendedahkan kisah mereka dalam 'The House'.

SISI sebenar kehidupan tiga penyanyi baharu iaitu Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Sissy Imann didedahkan dalam program realiti The House musim kelima yang bakal ditayangkan bermula 27 Mac ini.

Ketiga-tiga penyanyi tersebut akan memperlihatkan karakter peribadi masing-masing dan perlu melalui beberapa ujian sepanjang enam hari penggambaran.

Menurut Sarah Suhairi, penonton boleh menyaksikan sendiri keletahnya sebagai seorang gadis ceria dan berani dalam program tersebut.

“Sebenarnya, apa yang orang tengok di Instagram itu sama sahaja seperti apa yang saya tunjukkan dalam The House.

“Saya seorang yang suka bercakap, happy go lucky dan berani. Memandangkan kami bertiga sudah mengenali antara satu sama lain, jadi memang terkeluar semua perangai rahsia tu,” katanya kepada mStar Online.

Sarah, Wani dan Sissy ditemui ketika sidang media program tersebut yang diadakan di The Bean’s Bangsar Shopping Centre pada Isnin.

Sementara itu, Wani Kayrie pula berkata menerusi program lima episod ini penonton dapat melihat karakter dirinya yang sukakan kecantikan.

Malah, ramai yang tidak mengetahui dia seorang yang gemar berjenaka dengan teman-teman sekeliling.

Artis dan mereka yang terlibat dalam 'The House'.

“Saya sebenarnya seperti seorang sinderella yang sukakan kecantikan tapi dalam masa sama suka buat lawak.

“Begitulah karakter saya apabila bersama dengan orang yang rapat. Kalau orang yang tak kenal mungkin anggap saya sombong tapi sebenarnya tidak, saya kelakar orangnya,” ujarnya.

Berlainan pula dengan Sissy Imann yang dilihat seperti seorang gadis yang lasak dan berterus terang, namun dia sebenarnya seorang yang manja.

“Mungkin ada orang tengok saya macam gila-gila dan kuat bercakap, tapi hakikatnya saya bukanlah terlalu berani.

“Mujurlah ada Wani dan Sarah yang sentiasa menjadi tempat saya berkongsi cerita dan masalah sepanjang dalam program ini,” ujarnya.

Rancangan yang memasuki musim kelima ini akan disiarkan di Astro Ria, setiap Rabu, pukul 9.00 malam bermula 27 Mac ini.

Artikel Lain