suria

Aepul bersolek macam perempuan, ia kerana watak

Aepul menarik perhatian netizen apabila memuat naik foto dia berimej menyerupai wanita.

VOKALIS kumpulan Drama Band iaitu Aepul Roza menarik perhatian netizen apabila dia memuat naik foto berserta video dalam keadaan bersolek menyerupai wanita di laman Instagram.

Rata-rata netizen mempersoalkan tindakan Aepul yang memakai alat solekan seperti bedak asas, gincu dan bulu mata palsu.

Namun menurut Aepul atau Noorsyaiful Md Zalaludin, 31, imej tersebut tiada kaitan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 

Kata Aepul, dia dan anggota kumpulannya berimej seperti itu disebabkan keperluan watak dalam muzik video lagu terbaharu mereka berjudul Drama.


Aepul memakai solekan untuk muzik video lagu terbaharu Drama Band.

"Saya dan anggota lain berimej seperti itu tidak ada kena mengena dengan golongan LGBT. Ia sekadar keperluan watak yang kami tampilkan dalam muzik video terbaharu.

"Sebab mengikut jalan cerita dalam muzik video itu memang memerlukan kami membawa watak dan berpakaian seperti itu," kata Aepul ketika dihubungi mStar Online.

Aepul diminta mengulas mengenai beberapa komen netizen yang menganggap dia melakukan perkara yang sama seperti Tomok yang berpakaian menyerupai wanita menerusi muzik video lagu Bekas Kekasih.

Dalam pada itu, Aepul mengakui segala kekurangan dan kesalahan dalam muzik video tersebut adalah datang daripadanya dan ahli kumpulan.

Drama Band bakal tampil lagu terbaharu berjudul Drama.

Bagaimanapun, Aepul berharap netizen akan memahami tujuan sebenar mereka menampilkan imej tersebut selepas menonton klip video lagu itu yang bakal dilancarkan pada Jumaat ini.

"Apa-apa pun saya minta maaf dan akui semua kekurangan dan kesalahan itu datang daripada kami sendiri dan tidak akan menunding jari kepada orang lain.

"Tapi apa yang kami lakukan semuanya ada tujuan dan keperluan. Insya-Allah nanti dah tengok muzik video tu mesti semua orang akan faham jalan cerita sebenar," ujarnya.

Selain Aepul, Drama Band turut dianggotai oleh Ammar habir (gitar), Adib Zuraik (gitar), Daus SRK (bes) dan Faeez Halim (dram).

Aepul Roza, Drama Band

Artikel Lain