suria

"Saya tak kenal wanita itu" - Issey

Issey memberitahu dia tidak mengenali wanita bernama Anis.

PENYAMPAI radio Suria iaitu Issey Fazlisham memberitahu panggilan telefon yang diterima daripada wanita dikenali sebagai Anis tidak ada kena mengena dengan lagu terbaharunya, Alololo.

Issey, 32, berkata dia sendiri terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada wanita tersebut ketika sedang bersiaran di radio.

Bagaimanapun, Issey enggan bercerita lebih lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu isu tersebut menjadi lebih serius dan berpanjangan.

"Memang benar saya ada terima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama Anis. Sejujurnya saya sendiri tak kenal pun siapa dia.

"Dan untuk pengetahuan semua, Anis ini bukan gimik yang sengaja diwujudkan semata-mata nak promosikan lagu terbaharu saya ya.

Issey terima panggilan daripada wanita bernama Anis yang mendakwa dia telah menyekat wanita itu berhubung dengannya di laman sosial.

"Tapi saya tak naklah komen lebih lanjut lagi mengenai wanita itu sebab tak nak panjang-panjangkan lagi isu ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Issey diminta mengulas mengenai panggilan telefon daripada Anis yang berang apabila dia telah menyekat wanita itu di laman sosial.

Menerusi video perbualan antara Issey dan Anis yang dimuat naik di laman sosial, individu itu memberitahu mereka pernah keluar bersama pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Issey berharap peminatnya tidak salah faham dengan apa yang berlaku dan terus memberi sokongan pada single pertamanya yang bakal dilancarkan pada malam ini.

Issey bakal lancarkan single pertama.

Menurut Issey, tujuan dia mengeluarkan single hanya untuk berkarya sahaja bukanlah menjadi seorang penyanyi sepenuh masa.

"Harap-harap peminat tidak salah faham dengan isu panggilan telefon itu dan terus sokong lagu terbaharu yang bakal dilancarkan pada malam ini.

"Sebenarnya, saya bukanlah nak jadi penyanyi tapi tujuan saya keluarkan single itu hanya untuk berkarya sahaja.

"Saya tahu, mungkin lagu itu tidak akan dimainkan di radio lain tapi saya akan fokus promosikan di platform media sosial," ujarnya.

Issey, Suria FM, Alololo

Artikel Lain