Fattah tersinggung, pendakwah mohon maaf tegur tanpa usul periksa - Hiburan | mStar

Fattah tersinggung, pendakwah mohon maaf tegur tanpa usul periksa

Fattah tersinggung teguran pendakwah tanpa usul periksa.

PELAKON popular Fattah Amin tersinggung apabila seorang pendakwah telah membuat teguran terbuka terhadap dia dan isterinya pelakon Fazura tanpa sebarang usul periksa.

Fattah menerusi laman sosialnya berkata, pendakwah berkenaan tidak sewajarnya membuat penilaian tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu.

"Walaupun ini bukan kali pertama kami menjadi mangsa fitnah tetapi kali ini ianya berbeza dan menyinggung perasaan kami kerana fitnah itu seolah-olah telah diberi layanan istimewa oleh seorang “pendakwah” yang gagal membuat usul periksa yang sewajarnya.

"Apalah salahnya jika kami dihubungi terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian?" soalnya.

Fattah mengulas tentang kenyataan seorang pendakwah terhadap laporan akhbar berkaitan video muzik terbaharu isterinya Fazura Cant Forget Me yang bakal dilancarkan minggu depan.

Fattah meluahkan rasa terkilan di laman sosial pada malam Sabtu.

Pendakwah berkenaan iaitu Pencetus Ummah Syed telah membuat teguran secara terbuka menerusi laporan sebuah akhbar yang mendakwa aktor tersebut meluluskan adegan seksi dalam klip video itu.

Pelakon Hero Seorang Cinderella itu menganggap tindakan pendakwah tersebut telah mengundang cercaan dan fitnah terhadap mereka suami isteri.

"Wajarkah fitnah itu dijadikan bahan populis dalam akaun media sosial beliau serta mengundang pelbagai cercaan fitnah terhadap kami? Kami doakan agar “pendakwah” tersebut diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mampu berdakwah serta membimbing kami dan masyarakat dengan lebih baik melalui kaedah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Pencetus Ummah Syed mohon maaf.

Dalam pada itu, Fazura menerusi laman sosial memberitahu terdapat kesilapan pada laporan berkenaan.

"Pembetulan, tiada istilah Fattah luluskan beraksi seksi dalam klip video saya. Yang dinyatakan hanyalah ayat sexy dalam lirik saya. Kenyataan ini tersasar dan mengelirukan," ujarnya.

Sementara itu, pendakwah berkenaan menerusi laman sosialnya memohon maaf terhadap teguran yang hanya berdasarkan laporan yang dibaca menerusi akhbar berkenaan.

"Kepada penyokong Fattah dan Fazura tiada sekelumit rasa dalam hati saya untuk melaga-lagakan antara suami isteri ini. Ianya adalah respon saya untuk menegur, bukan sahaja kepada pasangan ini tetapi suami-isteri di luar sana," ujarnya.

Fattah Fazura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel