suria

Ariff Bahran lelaki paling rapat dengan Sarah Suhairi

Sarah akui Bahran adalah lelaki paling rapat dengannya. Foto Instagram: @sarahsuhairi.

PENYANYI Sarah Suhairi mengakui Ariff Bahran adalah kawan lelaki yang paling rapat dengannya buat masa kini.

Sarah, 19, berkata hubungan dia dan Ariff masih dalam peringkat berkawan dan mereka menjadi rapat disebabkan berada bawah syarikat pengurusan yang sama.

"Boleh dikatakan Bahran adalah lelaki yang paling saya rapat buat masa sekarang. Dia seorang kawan yang baik tapi kami berdua memang rapat sebagai kawan sahaja.

"Saya harap semua orang doa yang baik-baik sahaja. Kami berdua memang kerap berjumpa sebab berada di bawah pengurusan yang sama," Kata Sarah kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Suhairi, Andi Bernadee tiada istimewa, sekadar berbalas mesej


Hubungan Sarah dan Bahran masih dalam peringkat berkawan. Foto Instagram: @ariffbahran.

Sarah diminta mengulas mengenai foto dia dan Bahran yang dimuat naik di laman sosial masing-masing sempena sambutan tahun baharu.

Foto tersebut telah menarik perhatian peminat yang beranggapan mereka berdua mempunyai hubungan istimewa.

Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang mempersoalkan bagaimana dengan hubungan Sarah dengan penyanyi Andi Bernadee memandangkan mereka pernah digosipkan bercinta.

Menurut Sarah, dia tidak kisah namanya kerap dikaitkan dengan penyanyi lelaki kerana beranggapan semua orang ada pandangan tersendiri.

"Saya dan Andi juga kawan dan sampai sekarang kami masih lagi kawan. Andi pun kawan Bahran juga. Kami semua rapat sejak program Big Stage.


Sarah mahu lakukan yang terbaik untuk 2019.

"Terpulang pada pandangan masing-masing. Saya tahu menjaga batas pergaulan dan hubungan dengan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pedih ini dikatakan bakal menjadi salah seorang selebriti yang menyinari 2019.

Menurut Sarah, dia akan cuba lakukan yang terbaik untuk peminat yang sudah meletakkan harapan padanya.

"Saya ada terbaca juga beberapa artikel yang mengatakan saya salah seorang artis yang bakal menyinar tahun ini. Alhamdulillah, tapi memang tidak dijangka.

"Apa-apa pun, saya akan buat yang terbaik dan lebih baik tahun ini untuk peminat-peminat," katanya.

Sarah Suhairi, Ariff Bahran

Artikel Lain