Izzmad Harun komited terus berkarya demi adik OKU - Hiburan | mStar

Izzmad Harun komited terus berkarya demi adik OKU

Izzmad Harun bersama adik kesayangannya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

BIARPUN namanya kurang dikenali, penyanyi baharu Izzmad Harun komited untuk terus berkarya demi adiknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Izzmad atau Mohammad Hazwan Harun, 23, berkata, kisah hidup adiknya turut menjadi pembakar semangat biarpun dia sering dihina ramai pihak.

“Orang-orang sekeliling yang kita anggap sebagai sahabat, yang ingin membantu, akhirnya mereka menindas kita.

“Rakan dalam industri pun ada, depan-depan cakap bagus, tapi belakang cakap lain. Tapi saya tak peduli pun.

“Saya tinggalkan adik saya di kampung demi nak menjadi penyanyi, jadi saya lakukan ini semua untuk keluarga,” ujarnya kepada mStar Online.


Izzmad tampil dengan single terbaharu Bisa Pertama.

Izzmad ditemui sewaktu pelancaran single baharunya yang berjudul Bisa Pertama di IBIS Hotel, Kuala Lumpur.

Menurut jejaka kelahiran Teluk Intan, Perak itu, adiknya yang berusia 19 tahun mengalami masalah saraf pada otak akibat menjalani 48 pembedahan di bahagian kepala.

Dalam pada itu, Izzmad juga mengakui tidak kisah sekiranya dia digelar sebagai penyanyi lagu-lagu runut bunyi (OST) sahaja.

Malah katanya, dia yakin pertaruhan terbaharu menerusi single Bisa Pertama bakal melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Izzmad pada pelancaran singlenya pada Selasa.

“Bagi saya bukan mudah untuk lagu dipilih sebagai OST. Tapi mungkin belum rezeki saya untuk dimainkan di radio.

“Tapi saya yakin dengan lagu Bisa Pertama ni sebab ia ada jiwa dan kisah tersendiri. Saya pasti ia akan membawa saya kehadapan,” katanya lagi.

Sebelum ini, lagu Bulan Cinta nyanyian Izzmad dipilih sebagai OST untuk drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin serta lagu Selalu Di Jiwa untuk drama Lara Cinta Ameena menerusi saluran TV3.

Selain menyanyi, Izzmad juga pernah membintangi drama dan telemovie seperti Sembilu Dosa, Jangan Ambil Botol Itu, KL Vampire dan Isteri Untuk Abang Long.

Izzmad Harun , Bisa Pertama

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Mas Ermieyati sertai Bersatu