suria

“Tak tahu apa kurangnya saya?” - Amir Masdi

Amir masih belum berputus asa untuk menempatkan diri dalam bidang muzik tempatan. Foto AZMAN GHANI

BEKAS juara program Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Amir Masdi tidak terfikir untuk meninggalkan bidang muzik walaupun kariernya dilihat malap berbanding rakan seangkatannya.

Amir atau Amir Syazwan Masdi, 22, berkata, dia tetap akan meneruskan perjuangannya kerana tidak mahu mengecewakan ibu-bapa yang banyak menyokong kariernya sejak menyertai AF2016.

"Mak bapa saya yang dorong dan minta saya masuk Akademi Fantasia... Apabila mengenangkan sokongan dan pengorbanan mereka saya tidak mahu kecewakan mereka.

"Bidang nyanyian memang minat saya, selagi ada ruang saya akan teruskan dan berputus asa itu memang tidak ada dalam diri saya," katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, dia sendiri tidak mempunyai jawapan mengapa kariernya masih tidak berkembang seperti mana rakan seangkatannya yang lain.

Amir sedang dalam proses menyiapkan lagu terbaharunya.

Kata Amir, mungkin rezekinya dalam bidang nyanyian masih belum ada dan banyak perkara yang perlu dipelajarinya selain mencuba muzik baharu sejajar dengan trend dan permintaan peminat.

"Saya sendiri pun susah nak cakap kerana tak tahu apa yang kurangnya dengan saya... Sudah macam-macam saya lakukan tetapi ia berbalik kepada rezeki.

"Mungkin masih belum tiba masa dan rezeki saya dan sekarang saya pun sedang dalam proses rakaman single baru dan harap-harap selepas ini ia dapat diterima baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir berkata, selain karier seni dia kini sedang sibuk dengan pengajiannya dalam bidang ijazah sarjana muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sudah memasuki semester lima.

Amir Masdi, Akademi Fantasia

Artikel Berkaitan

Artikel Lain