Persembahan memukau... Noryn Aziz juara Gegar Vaganza 5! - Hiburan | mStar

Persembahan memukau... Noryn Aziz juara Gegar Vaganza 5!

Noryn Aziz muncul sebagai juara program Gegar Vaganza musim kelima yang diadakan pada malam Ahad. Foto SHAARI CHE MAT

SHAH ALAM: Penyanyi Noryn Aziz membuat kejutan apabila diumumkan sebagai juara pertandingan Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam Ahad.

Noryn yang menyanyikan lagu Laskar Cinta nyanyian asal Dewa 19 duet bersama artis jemputan Awi Rafael dan Where Is The Love (Black Eyes Peas) gandingan bersama Dia Fadila telah menewaskan lima peserta lain yang terdiri daripada Amelina, Zamani, Maya Ruslee, Dia Fadilla dan Billy Zulkarnain.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada yang banyak membantu saya. Kemenangan ini sangat bermakna dan tak mungkin dilupakan dalam karier saya," ujarnya.

Kemenangan itu melayakkan Noryn menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort berserta sebuah trofi.

Sementara itu, Dia Fadila memenangi tempat kedua menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort berserta sebuah trofi.

Finalis peringkat akhir Gegar Vaganza musim kelima.

Penyanyi Zamani pula berada di tangga ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort berserta sebuah trofi.

Tempat keempat pula menjadi milik Amelina dengan hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi manakala tempat kelima dan keenam pula menjadi milik Maya Ruslee dan Billy Zulkarnain.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Bintang Cuckoo paling gempak menjadi milik Zamani.

Dalam pentas final, peserta perlu menyelesaikan dua tugasan iaitu nyanyian duet bersama artis jemputan dan pusingan battle.

Kesemua persembahan dinilai oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, manakala juri jemputan Datuk DJ Dave dan Joe Flizzow.

Program akhir GV5 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Noryn Aziz , Gegar Vaganza 5

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel