Tiket konsert ‘Duo Dinamik Tomok & Black’ dah nak habis - Hiburan | mStar

Tiket konsert ‘Duo Dinamik Tomok & Black’ dah nak habis

Black Hanafiah (kiri) dan Tomok.

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular Black Hanafiah dan Tomok tidak menyangka tiket konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November ini sudah 98 peratus terjual.

Tomok memberitahu berita itu cukup menggembirakan selain membuatkan mereka berasa teruja untuk mengadakan persembahan.

“Jujurnya kami langsung tidak menyangka tiket konsert kami sudah 98 peratus terjual, berita itu membuatkan kami rasa cukup bersemangat dan tidak sabar hendak mengadakan persembahan.

“Rasa gementar itu memang ada kerana DFP adalah lokasi berprestij yang menjadi impian semua penyanyi termasuklah kami.

“Bagaimanapun kami akan cuba memberikam persembahan terbaik pada konsert itu nanti,” katanya.

Tomok dan Black ditemui pada sidang media Konsert Duo Dinamik Tomok & Black pada Khamis.

Bertemakan Tomok vs Black - In The Spotlight, konsert ini merupakan langkah berterusan DFP dalam menghargai bakat seni tempatan dan memberikan platform dengan menyajikan muzik pelbagai genre untuk menarik golongan muda ke dewan berprestij itu.

Tomok (kiri) dan Black Hanafiah tidak menyangka tiket untuk persembahan mereka laris.

Dalam pada itu, Black memberitahu pelawaan mengadakan persembahan di DFP bagaikan mimpi menjadi kenyataan kerana sebelum bergelar penyanyi dia pernah menyimpan hasrat mengadakan persembahan di situ.

Kata Black dia tidak menyangka impiannya itu terlaksana selain bergandingan dengan Tomok yang disifatkan sebagai senior dalam bidang seni.

“Memang jadi impian saya... Terlaksana akhirnya selain dapat berkongsi pentas dengan penyanyi terkenal seperti Tomok ia memang akan menjadi salah satu sejarah terbaik sepanjang karier saya,” jelasnya.

Sebagai persediaan kata Black, selain latihan bersama pemuzik, dia juga giat bersenam bagi memastikan staminanya nanti berada dalam keadaan baik.

“Setakat ini saya konsisten pergi ke pusat kecergasan dan berlari sejauh lima kilometer setiap hari.

“Konsert ini bukan main-main jadi saya mahu pastikan stamina saya nanti berada dalam keadaan baik demi memastikan penonton puas dengan persembahan saya,” ujarnya.

Antara lagu yang bakal didendangkan oleh Tomok pada konsert itu termasuk Khilaf, Qyiam, Berlari dan Bekas Kekasih.

Manakala Black pula akan menyampaikan lagu-lagu seperti Drama King, Mana Mungkin, Teman Pengganti dan Pot Pet.

Persembahan itu akan diiringi oleh band pengiring.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu berharga RM180 dan boleh didapati di kaunter box office atau layari www.mpo.com.m

Tomok , Black Hanafiah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel