Keluarga restu Syafie Naswip, Aishah Azman tapi kahwin belum tahu - Hiburan | mStar

Keluarga restu Syafie Naswip, Aishah Azman tapi kahwin belum tahu

Aishah Azman dan Syafie Naswip sudah menjalinkan hubungan cinta sejak tiga tahun lalu. Foto Instagram @syafienaswip

PERCINTAAN di antara dua pelakon iaitu Syafie Naswip dan Aishah Azman bukan lagi rahsia malah hubungan itu sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu.

Aishah memberitahu mereka juga sudah bertemu dengan keluarga masing-masing untuk merapatkan silaturahim.

Pun begitu kata Aishah, buat masa ini mereka belum bercadang untuk melangsungkan perkahwinan dan meletakkan soal itu kepada jodoh apabila tiba masa yang sesuai.

"Alhamdulillah keluarga kedua belah pihak merestui hubungan kami malah Syafie juga sangat rapat dengan ibu saya.

"Pasal kahwin... Tiada peranangan dalam masa terdekat walaupun sudah tiga tahun bercinta. Insya-Allah kalau ada jodoh pasti tidak ke mana," katanya.

Aishah sudah bertemu dengan keluarga Syafie.

Dalam pada itu, Aishah berkata, dia berkenalan dengan Syafie sebelum dia bergelar seorang pelakon dan senang dengan sikap teman lelakinya itu yang disifatkan sebagai berani dan baik hati.

"Syafie seorang yang baik hati tetapi paling penting saya selesa berada di sampingnya.

"Saya tertarik kepadanya kerana sikapnya yang berani dan serius menambat hati saya," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharu, Aishah berkata, dia teruja dengan peranannya dalam drama Isteri Dalam Sangkar yang memegang watak antagonis.

Barisan pelakon Isteri Dalam Sangkar.

Kata Aishah, dia berasa gementar perlu membawakan peranan itu kerana sedar ia bukan tugas mudah dan perlu memberi kelainan.

"Kalau pelakon wanita membawa watak antagonis mesti gedik, jahat... Jadi saya gementar sikit kerana tidak mahu jadikan watak saya stereotaip dengan apa pernah dilakukan pelakon lain sebelum ini.

"Tetapi ia menyeronokkan kerana saya sukakan cabaran dalam menampilkan kelainan dalam watak diberikan," katanya.

Isteri Dalam Sangkar arahan Ejump Mohd itu turut menampilkan Nina Iskandar, Azrel Ismail, Aidil Aziz, Sherry Merlis, Ungku Haris dan Nazia Mustaffa.

Ia sedang disiarkan menerusi HyppSensasi (Unifi TV 116) dan Play TV @Unifi pada setiap Rabu dan Khamis, 9.30 malam.

Artikel Berkaitan