suria

‘Ayat-Ayat Cinta’ sukar dan tidak sesuai dengan suara - Farawahida

Farawahida akui banyak kesilapan ketika menyanyikan lagu Ayat-Ayat Cinta.

PENYANYI Farawahida mengakui lagu Ayat-Ayat Cinta nyanyian asal Datuk Sri Rossa adalah sebuah lagu yang sukar dan tidak sesuai dengan suaranya.

Farawahida, 33, yang diumum tersingkir pada konsert minggu keenam Gegar Vaganza 5 (GV5) Ahad lalu berkata, lagu tersebut memerlukan emosi yang lembut.

"Lagu itu susah dan tidak sesuai dengan suara saya. Ia perlukan suara dan emosi yang lembut sedangkan tone suara saya punch,” ujarnya kepada mStar Online.

Akibat kecudang dalam pertandingan itu, dia gagal mara ke konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) minggu hadapan.

Farawahida gagal ke separuh akhir minggu depan.

Dia yang menyanyikan lagu Ayat-Ayat Cinta mendapat markah terendah pada konsert yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penyanyi yang popular dengan lagu Tanpa Mu ini berkata, dia sudah melakukan yang terbaik dan reda dengan keputusan tersebut.

"Saya sudah buat terbaik dan terlalu berhati-hati, mungkin banyak kesalahan pada bahagian belakang.

"Tidak mengapa kerana anggap ia sebagai takdir dan rezeki saya hanya sampai sini sahaja. Bagi saya terpilih menyertai GV5 sudah bersyukur kerana ramai artis yang nak masuk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farawahida mengakui tertekan sepanjang enam minggu dalam program realiti berkenaan.

Katanya, kesemua artis yang bertanding sudah menunjukkan taring masing-masing.

"Setiap minggu saya rasa tidak cukup masa kerana kita hanya ada Isnin sahaja untuk fikir tentang konsep persembahan.

"Semua sudah tunjuk taring dan saya rasa tidak tahu apa lagi saya nak buat setiap minggu,” ujarnya.

Farawahida, GV5

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain