suria

Raysha belum sedia kahwin biarpun dah 6 tahun berkawan dengan pelumba F3

Raysha menjalinkan hubungan cinta dengan Nabil sejak enam tahun lalu.

PELAKON Raysha Rizrose belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga biarpun enam tahun menjalinkan hubungan dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffri.

Adik kepada aktres Uqasha dan Nelydia Senrose ini mahu memberi laluan kepada dua orang kakaknya untuk membina keluarga terlebih dahulu.

"Saya dan Nabil berkawan sejak 2013 dan kira-kira sudah enam tahun tapi kedua-duanya masih muda dan belum bersedia untuk ke arah itu.

"Saya baru berusia 22 tahun dan Nabil 25 tahun, kami juga tidak letak sasaran tapi kalau boleh bagi kakak lepas dulu," ujarnya kepada mStar Online.

Raysha bersama kakaknya Uqasha dan Nelydia.

Raysha ditemui pada majlis pelancaran drama Cintaku Di Bumi Izmir di Shah Alam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Raysha berkata, dia tidak terlalu terbuka dalam berkongsi hal peribadi di media sosial.

Katanya, apa yang dilakukan itu bagi mengelakkan perkara buruk yang boleh mencetuskan kontroversi.

"Saya seorang yang agak berahsia dan jarang berkongsi di media sosial gambar kekasih. Bagi saya itu lebih baik tapi bukan bermakna saya mahu merahsiakan. Ada sahaja gambar di Instagram saya cuma tidak terlalu kerap," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang drama Cintaku Di Bumi Izmir yang disiarkan di Unifi TV, Raysha berkata, dia teruja dapat bergandingan dengan Hefny Sahad yang juga bekas kekasih kakaknya Uqasha.

Bagaimanapun, perkara itu tidak membuatkan dia kekok untuk bergandingan sebagai pasangan kekasih.

Drama yang menjalani penggambaran di Izmir, Turki itu disiarkan bermula 27 Ogos lalu dan turut dibintangi oleh Nabila Razali dan Syafie Naswip.

Raysha Rizrose