suria

“Karya ini menemukan jodoh rahsia Allah kepada saya” – Fattah Amin

Fattah bersyukur menerima anugerah atas berkat doa dan sokongan peminat.

PELAKON Fattah Amin memberitahu kemenangan telefilem Wanita Terindah dan drama bersiri Hero Seorang Cinderella di Anugerah Telenovela 2018 memberi erti cukup besar kepadanya.

Ini kerana kata Fattah, menerusi dua karya tersebut juga merupakan titik permulaan dia mengenali isterinya, aktres Nur Fazura sehingga mereka bergelar suami-isteri.

"Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan dua karya ini.

"Karya inilah juga yang menemukan jodoh rahsia Allah kepada saya iaitu @missfazura.

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin, Fazura menang besar di Anugerah Telenovela 2018

Fattah memuat naik status mengucapkan terima kasih di laman Instagram.

"Di sinilah titik permulaan kami dipertemukan, mengenali satu sama lain sehingga terbinanya mahligai cinta bahagia," tulisnya di Instagram.

Pada malam Sabtu, pasangan itu membolot semua trofi kategori popular di anugerah itu termasuk Novel Popular dan Telefilem Popular.

Mereka juga menyapu bersih anugerah Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telefilem Popular dan Pelakon Wanita Telefilem Popular.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada acara itu yang diadakan di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu.

Kerjayasama pertama Fattah dan Fazura adalah titik permulaan pengenalan mereka.

Tambah Fattah, dia bersyukur dengan kemenangan tersebut yang dianggap rezeki daripada Allah selain diberikan peluang untuk menonjolkan bakat dalam lakonannya.

Dalam pada itu, Fattah juga menganggap anugerah yang diterimanya itu merupakan berkat daripada doa dan sokongan peminatnya dan Fazura.

"Sudah tentu doa kalian semua peminat yang sehingga hari ini mendoakan yang baik-baik dan menyokong kami.

"Anugerah yang terbaik sebenarnya bukanlah trofi yang kami terima tetapi anugerah peminat yang diberikan Allah kepada kami tidak kira jauh ataupun dekat, kalian sentiasa ada di dalam ingatan kami," katanya.

Fattah Amin, Nur Fazura

Artikel Lain