suria

Hans Isaac beri peluang peminat tanya soalan peribadi

Hans Isaac akan memberi peluang kepada peminat bertanya soalan peribadi kepadanya ketika konsert Baik Punya 4D berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini. Foto AZLINA ABDULLAH.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan produser Datuk Hans Isaac akan menjawab segala pertanyaan daripada peminat mengenai kisah peribadinya.

Hans, 47, berkata dia akan membuka ruang untuk peminat bertanya soalan itu ketika konsert Baik Punya 4D yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini.

"Istimewanya tentang konsert ini, peminat berpeluang untuk tanya apa sahaja pada saya dan tiga orang lagi rakan saya iaitu Afdlin Shauki, Awie dan AC Mizal.

"Tak kisahlah mereka nak tanya tentang hal peribadi atau apa sahaja... Kami akan buka ruang untuk peminat yang datang menonton konsert itu nanti.

Hans bakal menyanyi beberapa buah lagu.

"Mungkin peminat akan menulis soalan sebelum masuk ke dewan atau sesi soal jawab itu akan dibuka ketika konsert berlangsung," kata Hans kepada mStar Online.

Hans ditemui ketika sidang media Baik Punya Concert 4D di Istana Budaya, di sini yang diadakan baru-baru ini.

Selain Hans, konsert yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini turut menampilkan tiga orang selebriti iaitu Datuk Afdlin Shauki, Datuk Awie dan Datuk Ac Mizal.

Menariknya tentang konsert itu juga, Hans buat pertama kali akan menyanyikan beberapa buah lagu secara langsung.

Dari kiri, Hans, Afdlin, Awie dan AC Mizal bakal bertemu peminat mereka pada hujung bulan ini.

"Ini kali pertama saya akan menyanyi di atas pentas yang besar dan lagu-lagu yang saya pilih adalah lagu yang susah untuk saya nyanyikan.

"Salah satu lagu itu merupakan lagu nyanyian Awie tapi saya tak pilih lagi lagu. Saya nak cabar diri saya untuk melakukan sesuatu yang luar dari jangkaan," ujarnya.

Konsert yang berdurasi selama dua jam ini akan diadakan di Istana Budaya bermula 26 hingga 28 Julai ini.

Harga tiket yang dijual dari harga RM98 itu sudah mula dijual dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Tall Order Sdn Bhd di talian 03-422532241.

Datuk Hans Isaac, Baik Punya 4D

Artikel Lain