suria

Isu Sufi Rashid & Haqiem Rusli selesai

Sufi Rashid menerima permohonan maaf yang dibuat Haqiem Rusli kepadanya. Foto Instagram @sufirashid

JUARA Akademi Fantasia 2015 (AF) Sufi Rashid menerima permohonan maaf yang dibuat oleh Haqiem Rusli berhubung isu single terbaharu penyanyi remaja itu, Selamat Tinggal Sayang baru-baru ini.

Sufi menerusi InstaStory turut mendedahkan mesej perbualannya dengan Haqiem yang memohon maaf selain meminta penyanyi berasal dari Singapura itu berasa kasihan dengan apa yang sedang dihadapinya ketika ini.

"Maaf diterima. Aku pun minta maaf, bro. Aku harap kita semua belajar," balas Sufi kepada mesej dihantar Haqiem.

Sebelum ini, Sufi meluahkan rasa kesal terhadap Haqiem apabila menggunakan melodi ciptaannya untuk lagu Selamat Tinggal Sayang tanpa kebenaran selain tidak memberi kredit kepadanya.

Antara perbualan Sufi dan Haqiem.

ARTIKEL BERKAITAN: Idea bukan percuma, brother! - Sufi Rashid tempelak Haqiem Rusli

Menerusi perbualan sama, Sufi memberitahu Haqiem dia tidak pernah membencinya malah tahu dan mengambil berat tentang apa yang sedang dilaluinya ketika ini.

"Aku masih mesej kau, kan? Kalau aku benci kau ke apa, aku takkan balas mesej kau pun sebab aku tahu apa kau hadapi," tulisnya lagi.

Dalam posting berbeza, Sufi memberitahu luahannya sebelum ini bukan kerana benci atau bersifat peribadi sebaliknya ia hanya berkaitan kerja.

"Ia tidak pernah mengenai membenci atau apa-apa berkaitan peribadi. Its just business. Satu kesalahan dan kita minta maaf. Ringkas.

"Cuma sedikit mencabar kepada kami artis kerana kami dikelilingi oleh netizen. Terima kasih kepada yang ambil berat," katanya.

Luahan Sufi di InstaStory. 

Sementara itu, Sufi turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir netizen yang lebih gemar mengecam walaupun sudah meminta mereka mendoakan yang baik.

"Bila minta doa yang baik-baik, taknak. Part kecam, nombor satu. Netizen oh netizen," ujarnya.

Bagaimanapun Sufi memohon maaf sekiranya ada perbuatannya menyinggung sesiapa namun menjelaskan apa dilakukan atas dasar pengajaran.

"Maaf jika perbuatan saya menyinggung sesiapa. Ini semua atas nama belajar. Peace and Love kepada semua," katanya.

Artikel Lain