suria

Pembedahan sumbing anak Lan Solo ambil masa 3 jam

Anak keempat Lan Solo kini sedang menjalani pembedahan bagi mencantumkan bahagian sumbing.

ANAK keempat penyanyi Lan Solo iaitu Nur Amna Quxandra yang mengalami masalah sumbing selamat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata pembedahan tersebut bermula pada pukul 9.30 pagi dan akan mengambil masa tiga jam.

"Baby masuk ke dewan bedah pada pukul 9.30 pagi tadi. Sekarang masih dalam bilik pembedahan lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Lan Solo jadi mangsa diejek bibir sumbing

Lan mohon doa daripada peminatnya.

"Pembedahan itu dilakukan di PPUM dan dijangka akan mengambil masa dalam tiga jam baru selesai," kata Lan secara ringkas menerusi Whatsapp kepada mStar Online.

Selain itu, Lan ada memuat naik foto dan video anak perempuannya itu di Instagramnya sebelum ke dewan bedah.

Menerusi kapsyen di video tersebut, Lan memohon agar semua urusan dipermudahkan dan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan bayinya.

"Semoga berjaya sayang daddy mummy. Moga selamat semuanya, dipermudahkan segala. Amin...

Lan disamping keluarga tercinta.

"Terima kasih juga atas doa kalian," ujarnya.

Rata-rata pengikut di laman sosial turut mendoakan pembedahan bagi mencantum bahagian sumbing anak Lan berjalan dengan lancar.

Terkini, menerusi Instagram Lan memberitahu pembedahan tersebut telah pun selesai pada kira-kira pukul 11.40 pagi. 

"Alhamdulillah pembedahan bahagian bibir anak saya dah selesai. Terima kasih doktor dan team. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan anak kami. 

"Insya-Allah nanti kami update lagi fasal Baby Xandra," katanya.  

Isteri Lan, Nur Sheila Hassim melahirkan bayi keempat mereka pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur.

Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009.

Selain Quxandra mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Lan Solo

Artikel Lain