suria

Elfira jawab tuduhan jadi punca Nazim & Bella bercerai

Elfira sememangnya rapat dengan Bella Daly dan Nazim Othman.

PETALING JAYA: Kisah perceraian pasangan artis, Nazim Othman dan Bella Dally turut memberi tempias kepada pelakon, Elfira Loy.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, dituduh menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan itu.

Tuduhan tersebut dibuat oleh seorang pemilik akaun di laman Twitter bernama Mohamad Azif.

Malah, netizen itu juga turut mengaitkan nama bekas tunang Elfira iaitu penyanyi Sufian Suhaimi.

"Rupanya Elfira Loy punca Nazim Othman bercerai Bella, dah putus dengan Sufian pergi hancur rumah tangga orang lain hmmm," tulis Azif.

Elfira menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Kerna Syurga Bukan Percuma ini tidak mendiamkan diri dan membalas semula tweet tersebut.

Kata Elfira, dia berasa sakit hati dengan dakwaan tersebut namun tidak mahu ada perasaan marah kerana menghormati bulan yang mulia ini.

Elfira turut mempersoalkan tindakan individu tersebut yang sekadar ingin mendapatkan perhatian atau sengaja mahu memfitnahnya.

"Bulan yang mulia ini tak baik marah-marah tapi sakit jugalah hati ini.

"Adakah awak tweet sekadar untuk mendapat retweet atau memang nak fitnah saya?," kata Elfira menerusi laman Twitternya.

Elfira dan Bella sudah lama berkawan baik.

Rata-rata pengikut Elfira di laman sosial menasihati pelakon wanita itu supaya bersabar dan mengecam semula individu tersebut.

Difahamkan, Elfira dan pasangan itu sememangnya sudah lama berkawan rapat. Elfira dan Bella juga kerap meluangkan masa bersama.

Sebelum ini, dunia hiburan dikejutkan dengan kenyataan Nazim dan Bella yang memberitahu perkahwinan mereka sudah berakhir.

Berita sedih itu disampaikan oleh mereka berdua menerusi laman Instagram masing-masing pada Khamis.

Nazim ada memuat naik status di Instastorynya mengatakan dia mahu bekas isterinya itu meneruskan kehidupan dengan tenang dan mengejar cita-cita.

Sehingga kini, Nazim mahupun Bella hanya mengunci mulut punca sebenar perkahwinan yang dibina selama dua tahun itu berakhir.

Elfira Loy, Nazim Othman, Bella Daly

Artikel Lain