Bekas penyampai radio Hot FM meninggal dunia - Hiburan | mStar

Bekas penyampai radio Hot FM meninggal dunia

Rafly Rahamat meninggal dunia dalam kerahmatan bulan Ramadan.

PETALING JAYA: Bekas penyampai radio Hot FM Terengganu dan Manis FM, Rafly Rahamat meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam Sabtu.

Rakan baik Allahyarham, Muhammad Saifuddin Rashid atau El memberitahu Rafly menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman keluarganya di Kuantan, Pahang.

El turut memberitahu, dia bersama beberapa orang rakan sempat menziarahi arwah di rumahnya pada tengah hari tadi dan tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir dengan sahabatnya itu.

"Sayu saya melihat keadaan Rafly yang nazak selain fizikalnya yang terlalu kurus.

"Ketika kami meminta izin untuk pulang dia seolah-olah tidak membenarkan kami balik dan minta kami berada di sisinya.

El (kiri) bersama Rafly ketika sama-sama bertugas di Hot FM Terengganu.

"Terkejut juga apabila mendapat perkhabaran Allahyarham meninggal dunia tetapi Alhamdulillah kami sempat bertemu dengannya buat kali terakhir," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, El memberitahu, Rafly sebenarnya baharu sahaja dibenarkan keluar daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selepas terlantar sejak April lalu.

Bagaimanapun katanya, dia sendiri tidak dapat memastikan apakah penyakit sebenar dihadapi oleh Rafly namun dipercayai terkena penyakit misteri.

Sementara itu, menerusi Instagram Rafly, Allahyarham pernah memuat naik status memaklumkan dia kini berada di rumah dan berharap pengikutnya mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Status pada 8 Mei lalu itu diikuti dengan sekeping gambar bersama rakannya tiga hari lalu dengan kapsyen ingin mendapatkan kembali bentuk tubuhnya seperti mana dalam foto berkenaan.

Rafly Rahamat , Hot FM , Manis FM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mas Ermieyati sertai Bersatu