suria

Labur RM3 juta, ‘Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda’ pasti dapat sambutan

A. Aida (duduk tiga dari kanan) bersama barisan pelakon filem 'Ratu Kala Jengking:PUteri Keranda'. FOTO: Art Chen

KUALA LUMPUR: Produser drama Datuk A. Aida berasa yakin filem pertamanya iaitu Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda mampu menarik peminat filem untuk menontonnya.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 47, berkata dia menampilkan seramai 36 barisan pelakon handalan malah turut merancang untuk membawa filem itu ke pasaran luar.

"Saya rasa teruja dan ghairah menerbitkan filem ini kerana ia merupakan filem pertama dari produksi A. Aida Productions Sdn Bhd. Insya-Allah saya yakin filem sulung saya ini boleh menarik penonton.

"Istimewanya filem ini membariskan seramai 36 orang pelakon hebat yang dipilih oleh saya sendiri.

"Saya buat filem ini  bukan sahaja untuk pasaran tempatan tapi berharap dapat menebusi pasaran luar,” kata Aida kepada mStar Online.


A. Aida yakin buah tangan pertamanya ini.

A. Aida ditemui  ketika majlis doa selamat dan sidang media filem berkenaan di Taman Sri Rampai, di sini pada Jumaat. 

Dalam pada itu, A Aida memberitahu dia hanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan skrip filem tersebut.

“Untuk skrip filem ini saya hanya ambil masa tiga hari sahaja. Saya ni jenis kalau dah mula dapat idea, tak boleh berhenti menulis.

“Saya buat skrip itu pada awal Januari lalu. Kalau untuk drama atau telefilem saya dapat siapkan dalam masa satu hari sahaja,” ujarnya.

Filem arahan pengarah Bade Azmi ini bakal memulakan penggambaraan pada 1 Mei depan di Kota Tinggi selama 35 hari.

Ia dijangka akan berada di pawagam pada awal tahun hadapan.

Filem ini mengisahkan seorang perempuan berhadapan dengan sumpahan apabila setiap lelaki yang berkahwin dengannya akan meninggal dunia.

Menariknya filem yang diadaptasi dari kisah benar ini turut menekankan teknik janaan komputer (CGI) dan keseluruhannya menelan belanja kira-kira RM3 juta.

Antara barisan pelakon yang menjayakan filem tersebut ialah Nadia Brian, Amar Asyraf, Firman, Mas Khan, Eyra Hazali, Dayana Areeda, Fauziah Nawi, Aprena Menrose, Raja Azmi dan Datuk Fizz Fairuz.

A. Aida

Artikel Lain