suria

Biarlah apa orang kata, Amar Baharin larang bayinya disentuh, cium

Amar Baharin dan isteri, Amyra Rosli mementingkan keselamatan dan kesihatan anak mereka Aqeef Anaqi. Foto Instagram @amarbaharin

PETALING JAYA: Pelakon Amar Baharin terpanggil untuk meluahkan pandangan mengenai sikap segelintir pihak yang gemar menyentuh dan mencium bayi bukan milik mereka kerana ingin memberi kesedaran bahawa perbuatan itu adalah berbahaya kepada kesihatan bayi.

Amar, 33, berkata, dia sendiri sebagai bapa pernah mengalami insiden sama apabila anak lelakinya, Aqeef Anaqi yang kini berusia enam bulan sering menjadi tumpuan orang ramai yang ingin menyentuh dan menciumnya.

"Pada saya penting untuk saya sebagai seorang bapa meluahkan mengenai perkara itu kerana ramai tidak sedar akan keburukan memegang dan mencium bayi.

"Saya dan Amyra sendiri banyak kali berhadapan dengan situasi seperti itu tetapi kebiasaannya kami menegur secara baik mengapa kami tidak benarkan orang lain memegang, menyentuh apatah lagi menciumnya.

Luahan Amar di Instagram kerana ingin memberi kesedaran tentang bahaya orang luar menyentuh bayi. 

"Tapi Amyra memang sentiasa melindungi anak kami memandangkan dia sentiasa bersama Aqeef," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Amar menerusi Instagramnya berkongsi artikel mengenai isu tersebut dan berang dengan sikap sesetengah pihak yang gemar mencium bayi dengan menyifatkan mereka sebagai tidak bertimbang rasa.

"Kau ikut perasaan nafsu geram kau, cium bayi tu atau sentuh bayi itu, sampai secara tidak langsung kau sebarkan virus kat bayi tu sampai sakit macam ni, siapa yang menanggung?," tulis Amar di Instagram.

Bercakap lanjut mengenai isu itu, Amar berkata, dia sendiri tidak pernah menyentuh mana-mana bayi kerana sedar ia boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak tersebut.

Amar dan Amyra pernah berhadapan dengan situasi orang asing ingin memegang dan mencium anak mereka.

Malah kata Amar, dia juga tidak teragak-agak untuk menegur sekiranya dia terlihat situasi tersebut berlaku kepada mana-mana bayi.

"Tidak terfikir ke bagaimana susahnya ibunya melahirkan anaknya, menjaga dan membesarkan mereka dengan sekelip mata bayi itu menanggung kesakitan atas perbuatan itu?

"Saya minta maaf kalau saya bertindak kasar kalau saya terjumpa 'makhluk' macam ini di luar sana," katanya.

Dalam pada itu, Amar mengakui tindakannya tidak membenarkan anaknya disentuh oleh orang asing menyebabkan dia dan isteri dituduh sebagai sombong.

Amar dan Amyra berkahwin pada November 2016 dan pasangan ini dikurniakan putera sulung pada 15 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun kata Amar, dia tidak peduli dengan pandangan orang lain kerana paling penting dia melindungi anaknya daripada sebarang kejadian tidak diingini.

"Sejujurnya ada juga yang tidak boleh terima tindakan kami itu dan anggap kami sombong tetapi saya tidak peduli apa yang orang kata kerana sebagai bapa saya ingin mengelak apa juga kemungkinan buruk yang boleh berlaku kepada anak saya.

"Dia masih kecil dan kami sebagai ibu bapanya yang perlu melindungi. Jangan sampai perkara buruk berlaku baru kami hendak menyesal," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amar berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Cinta Yang Ku Rasa bersama Izara Aishah.

Amar Baharin, Amyra Rosli

Artikel Lain