suria

“Tak Baik Cakap Suara Janna Nick Sumbang” - Sufian Suhaimi

Sufian anggap Janna ada cara nyanyian tersendiri.

PETALING JAYA: Sufian Suhaimi menganggap aktres Janna Nick mempunyai cara tersendiri ketika menyanyikan semula lagu berjudul Di Matamu milik Sufian.

Sufian berkata, dia memuji usaha pelakon drama Dia itu dalam memberi versi tersendiri terhadap lagu yang bakal dilancarkan pada Jumaat ini.

"Tak baik cakap begitu (menyanyi sumbang), masing-masing ada rendition sendiri untuk cover lagu Di Matamu, Janna Nick pun ada versi tersendiri.

"Saya suka dengar bila ramai orang cover (nyanyi semula) dan cuba improvise mengikut cara mereka,” ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jatuh Jugalah Air Mata Jantan Saya” - Sufian Suhaimi

Sufian diminta pendapatnya tentang lagu baharu miliknya berjudul Di Matamu yang dinyanyikan oleh Janna Nick dikritik netizen.

Netizen mengecam suara pelakon itu yang dikatakan sumbang dan hanya merosakkan lagu berkenaan.

Video nyanyian Janna Nick yang menjadi tular di laman sosial.

Sementara itu, Sufian mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong lagu berkenaan biarpun ia belum lagi dilancarkan secara rasmi.

"Alhamdulillah. Ia adalah permulaan yang baik untuk lagu ni. Walaupun belum lancar secara rasmi tapi versi yang tidak rasmi sudah mencecah lebih lapan juta tontonan YouTube dalam masa tiga minggu.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong terutamanya rakan-rakan artis, rakan media, dan peminat,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perasaanya bakal memperdengarkan single ketiganya itu kepada umum pada Jumaat ini, Sufian berkata, dia berasa gementar dan teruja menunggu hari berkenaan.

"Bimbang pun ada tapi dalam masa yang sama teruja. Saya harap orang ramai boleh terima lagu ini dan sesuaikan dengan hidup masing-masing,” katanya.

Lagu Di Matamu menjadi tular gara-gara kontroversi putus tunang dengan pelakon Elfira Loy pada Februari lalu.

Sehingga kini, lagu itu telah dinyanyikan lebih 1,000 orang termasuk rakan-rakan artis.

Janna Nick, Sufian Suhaimi, Di Matamu

Artikel Lain