suria

Hairul Azreen Dipanggil Polis Menembak Tanpa Lesen

Hairul Azreen

SEORANG pelakon lelaki berusia 30 tahun pada Khamis tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan ke udara tanpa memiliki lesen di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, dua tahun lalu.

Video insiden melibatkan Hairul Azreen menggunakan senapang patah dipercayai dirakam pada 26 Julai 2016 itu tular di laman sosial Youtube sejak beberapa hari lalu.

Hairul tiba di IPD berkenaan kira-kira jam 2 petang bersama dua rakan dengan menaiki Toyota Alphard dan memberi keterangan lebih dua jam.

Ketika ditemui pemberita, ayah kepada seorang anak itu mengakui kesilapannya dan menganggap perbuatan tersebut sebagai satu pengajaran seterusnya berharap orang ramai tidak membuat kesilapan sama.

Aksi Hairul Azreen menembak menggunakan senapang patah tanpa lesen dua tahun lalu menyebabkan dia dipanggil polis.

"Mungkin pengajaran untuk saya kerana saya tidak tahu boleh jadi macam ini sebab saya berlakon, jadi saya saja mahu lagak (cuba menembak). Di luar sana jangan suka-suka hati pegang senjata.

“Kesilapan ini saya tidak akan buat lagi. Pihak  polis akan buat siasatan lagi dan jika perlu mereka akan memanggil saya semula,” katanya.

Hairul menjelaskan insiden tersebut berlaku ketika beliau singgah di rumah bapa saudaranya di Kampung Parit Jerman, Sitiawan untuk memancing.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah dalam satu sidang media berkata hasil siasatan awal mendapati senapang patah tersebut milik bapa saudara artis berkenaan yang disimpan untuk tujuan menembak haiwan liar di kawasan tanaman.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah merampas senapang jenis SK 500, 29 butir peluru dan satu buku lesen bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Hairul Azreen

Artikel Berikut

Artikel Lain