suria

Ayie (Floor 88) 'Tumbang' Di Studio

Ayie (tengah) memaksa dirinya untuk bekerja sehingga tidak mendapatkan rehat yang secukupnya.

KECOH seketika apabila vokalis kumpulan Floor 88, Ayie 'tumbang' di studio sebelum sempat membuat rakaman single terbarunya, malam Jumaat.

Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 20, berkata kejadian itu berpunca kerana dia terlalu letih dan tidak mendapat rehat mencukupi disebabkan jadual yang padat termasuklah sibuk dengan peperiksaan akhir sebagai pelajar jurusan teater di Aswara sejak bulan lalu.

"Sebelum nak buat rakaman single terbaru tu, saya dah rasa sakit kepala tapi paksa juga diri sebab nak selesaikan cepat.

"Masa abang Harry (Khalifah) tanya saya OK ke tak, tiba-tiba saya terus jatuh pengsan. Sedar-sedar dah baring atas kerusi.

Video Ayie pangsan secara tiba-tiba sempat dirakam ahli kumpulannya, Eric.

"Sejak bulan lalu, jadual saya bertambah padat dengan peperiksaan akhir. Mungkin sebab itu badan tak cukup rehat," kata Ayie kepada mStar Online.

Video Ayie pengsan sewaktu Harry daripada kumpulan Khalifah bercakap dengannya sempat dirakam rakannya, Eric yang sedang membuat siaran langsung di Instagram.

Malah, Harry juga sempat memuat naik foto Ayie yang kelihatan letih terbaring di atas sofa selepas pangsan beberapa minit.

Menurut Ayie, selepas kejadian tersebut dia akan menyusun semula jadualnya supaya seimbang dan bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

Ayie kelihatan tidak bermaya selepas pengsan. Foto Instagram: @harrykhalifah.

Ayie berkata, sebelum ini dia pernah mengalami keletihan namun masih boleh mengawal diri. Jelasnya, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku dalam hidupnya.

"Selepas ini saya kena susun balik jadual. Kena imbangkan semula kerja dan belajar dengan betul supaya tak berlaku lagi seperti itu.

"Ini kali pertama saya penat dan terus pengsan. Sebelum ini ada juga waktu saya letih tapi tak pernah pula jadi macam itu," katanya.

Selain Ayie, Floor 88 dianggotai Amir (pemain gitar), Zai (pemain gitar utama), Akram (drum) dan Eric (keyboard).

Selepas lagu Zalikha mencipta fenomena sendiri, kumpulan ini bakal tampil dengan single kedua pada awal tahun depan.

Ayie Elham, Floor 88

Artikel Sebelum

Artikel Lain