suria

Elyana Dibayangi Takut Tidur Malam Kerana Kanser

Setiap kali tidur malam, Elyana sering dibayangi rasa takut kerana ia mungkin malam terakhir buatnya.

PENYANYI Elyana sering dibayangi mimpi ngeri setiap kali mahu melelapkan mata pada waktu malam gara-gara penyakit kanser limfoma tahap empat dialaminya.

Elyana atau nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal, 30, kepada mStar Online berkata, dia bimbang jika lenanya itu merupakan malam terakhir buat dirinya.

"Semenjak menghidap kanser limfoma (kanser kelenjar), saya dibayangi rasa takut untuk tidur malam.

"Apabila tidur, kadang-kadang terasa jantung seperti terhenti mengejut dengan tiba-tiba, mungkin ini kesan penyakit. Sebab itu saya sanggup bersengkang mata kerana takut tiada hari esok untuk saya," ceritanya.

Elyana Tersingkir, Umum Hidap Kanser

mStar Default Image
Elyana sentiasa nampak tenang.

Elyana ditemui semasa sidang media konsert GV4 yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Elyana yang tersingkir di minggu kelima pertandingan itu mengejutkan orang ramai apabila memaklumkan dia merupakan penghidap kanser pada tahap empat ketika membuat ucapan pada konsert itu.

Bercerita mengenai penyakit kanser yang dihidapi, Elyana berkata dia disahkan menghidap penyakit itu sejak tujuh tahun lalu.

Malah, dia masih menjalani rawatan perubatan di hospital dan dalam masa yang sama mencari ikhtiar perubatan secara tradisional.

"Sekarang ini kanser memasuki tahap empat dan saya sudah menjalani berpuluh kali rawatan kimoterapi, kali terakhir awal bulan Ramadan lalu. Malah, saya juga ada mencuba rawatan secara tradisional.

"Saya berhenti rawatan kimoterapi kerana mahu tumpukan pada persembahan Gegar Vaganza dan berasakan hanya dengan berfikiran positif membuatkan saya lupa tentang penyakit.


"Saya rindu nak buat persembahan di pentas besar seperti ini dan andai umur tak panjang, sekurang-kurangnya impian saya ini tercapai," katanya yang akan terus aktif dengan karier nyanyian.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 30 tahun ini memaklumkan dia merahsiakan mengenai penyakit ini kerana tidak gemar berkongsi perkara yang menyedihkan.

Baginya, dia tidak mahu peminat dan masyarakat terkesan dengan penyakit yang dihidapi.

"Saya tak mahu kongsi perkara yang membuatkan orang jadi sedih dan sebolehnya saya mahu semua orang gembira sahaja.

"Hanya keluarga dan rakan-rakan rapat yang tahu tentang penyakit ini.

"Selepas pengumuman ini, saya berharap mampu membuka masyarakat mengenai penyakit kanser dan menjaga kesihatan sebaiknya," katanya.

Elyana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain