suria

Hafeez Mikail Disangka Sudah Tiada Tawaran

Hafeez pernah menjadi penyanyi jalanan demi menjayakan watak dalam filem Busker. Foto AZLINA ABDULLAH / The Star

GARA-GARA menjadi penyanyi jalanan, pelakon Hafeez Mikail disangka sudah tiada tawaran lakonan.

Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Muhammad Zaki, 25, berkata ada peminat yang bertanya kepadanya apabila terserempak dia sedang bermain muzik dan menyanyi di kaki lima sekitar ibu kota, awal tahun lalu.

"Saya pernah menyertai satu group busker dan kami bermain muzik di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Inilah barisan pelakon filem Busker, (dari kiri) Hafeez, Bulan, Daiyan dan Anas.

"Semasa sedang busking, ada peminat yang menyangka saya sudah tiada tawaran berlakon sehingga perlu menyanyi di jalanan.

"Sebenarnya, apa yang saya lakukan itu adalah sekadar mencari pengalaman bagi menjayakan watak dalam filem Busker," katanya kepada mStar Online.

Hafeez ditemui semasa Pelancaran Filem Busker yang diadakan di Bentley Music, Mutiara Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Bercakap mengenai filem itu, Hafeez berkata dia tertarik menerima tawaran tersebut kerana perjalanan ceritanya yang menarik.

Bagaimanapun, Hafeez akui agak gementar sebelum memulakan penggambaran kerana percaya penerbit Astro Shaw sangat mementingkan kualiti produk mereka.

Pelakon filem Busker bersama Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar (tiga dari kiri), MonoloQue dan pengarah Syed Khairul Fariz (dua dari kanan).

"Saya suka muzik dan lagu-lagu yang perlu dinyanyikan dalam filem ini berbeza dengan lagu yang sering saya nyanyikan sebelum ini.

"Sejujurnya, saya suka mencuba sesuatu yang baru dan lagu-lagu dalam filem ini diolah sepenuhnya oleh MonoloQue, seorang komposer hebat di mata saya.

"Bagi mendapatkan jiwa sebagai penyanyi jalanan, saya ambil kelas muzik dan lakonan. Secara tak langsung, perasaan gementar itu dapat diatasi," ujarnya.

Selain Hafeez, filem berkenaan turut dibintangi oleh Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Hafeez Mikail, Busker

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain