suria

Elyana Tersingkir, Umum Hidap Kanser

Elyana bernasib tidak baik pada minggu ini.

KUALA LUMPUR: Perjuangan penyanyi Elyana di pentas Gegar Vaganza musim keempat (GV4) terhenti apabila diumumkan tersingkir dalam pertandingan itu yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Pada konsert minggu kelima ini, Elyana menyanyikan lagu Sepi , dendangan asal penyanyi Yuni Shara yang mendapat markah terendah daripada juri profesional.

Ia menampilkan Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap manakala Datuk M.Nasir tampil sebagai juri jemputan.

"Lagu yang diberi agak mencabar, semasa menyanyikan lagu bernada tinggi kamu sangat bagus, tapi bila nada rendah agak flat dan mendatar," kata Hetty.

Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan juri.

Elyana turut mengumumkan dia penghidap penyakit kanser. Foto Instagram @gegarvaganzaofficial.

Minggu ini bertemakan 'kaum kerabat'  di mana setiap bintang GV4 diberi cabaran menyanyikan lagu penyanyi yang mempunyai pertalian persaudaraan sesama artis dalam industri.

Meskipun tersingkir, Elyana pulang tanpa tangan kosong apabila memenangi Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Ketika membuat ucapan, Elyana turut memaklumkan dia penghidap kanser pada tahap empat dan meminta individu lain yang mempunyai penyakit sama agar terus kuat menempuh ujian itu.

Menerusi laman Instagramnya dua hari lalu, Elyana turut berkongsi gambar set lengkap pengurusan jenazah yang antara lain mengandungi kain kapan di dalamnya.

Status itu membuatkan peminat memberi kata-kata semangat kepadanya yang tidak menyatakan jenis kanser dialaminya.

Bagaimanapun difahamkan ia adalah kanser limfoma iaitu berkaitan sel darah.

Dalam pada itu artis yang mara ke minggu hadapan ialah Aqasha, Firman, Hazami, Lan, Tia (Jinbara), Aishah, Liza Hanim dan Syura.

Gegar Vaganza 4 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Gegar Vaganza musim keempat ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Elyana, GV4, Gegar Vaganza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain