Diana Danielle Buang Label 'Pelakon Cantik' - Hiburan | mStar

Diana Danielle Buang Label 'Pelakon Cantik'

Filem Hanyut telah membuka mata pelakon Diana Danielle. Foto SHAARI CHE MAT

AKTRES Diana Danielle memberitahu filem Hanyut  arahan U-Wei Saari benar-benar membuka mata masyarakat dan industri bahawa dia bukan hanya bersandarkan wajah yang cantik semata-mata.

Diana, 26, mengakui dia mula mendapat kepercayaan untuk membawakan watak berat selepas terlibat dalam filem berkenaan enam tahun lalu.

"Alhamdulillah, Hanyut telah membuka banyak peluang kepada saya. Selepas saya berlakon filem ini, ramai yang nampak bakat dan yakin untuk beri saya naskhah berat.

"Saya terhutang budi pada U-Wei dan malam ini sekali lagi menjadi kenangan manis apabila dipilih membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik," ujarnya kepada mStar Online.

Hanyut diumum Filem Terbaik ASK2017.

Diana memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2017 yang berlangsung pada malam Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Filem Hanyut turut diumum sebagai Filem Terbaik di anugerah anjuran TV3 itu.

Diana sebelum ini menerima trofi pada kategori yang sama pada anugerah di Festival Filem Malaysia ke-29 pada 23 September lalu.

Dalam pada itu, Diana mengakui kemenangan tersebut sedikit sebanyak mengubat kegagalan filem itu meraih kutipan ketika ditayangkan pada November tahun lalu.

Diana dan pengarah Hanyut, U-Wei Shaari.

"Saya harap orang ramai menonton filem ini biarpun di skrin kecil kerana ia sangat berbaloi. Ia merupakan filem terbaik yang pernah saya lakonkan," ujarnya.

Sementara itu, bercakap soal bayaran dan pemilihan naskhah, Diana berkata, dia menerima naskhah yang betul-betul sesuai dan yang mahu dilakonkan tanpa memikirkan soal bayaran yang diterima.

"Kita tahu bayaran yang diperuntukkan stesen televisyen, jadi kita pun tidak boleh letak harga atau terlalu berkira tentang itu.

"Pada saya asalkan kita seronok dengan watak dan naskhah yang kita dapat itu sudah memadai," ujarnya.

Diana Danielle , Hanyut , ASK2017

Artikel Sebelum

Afifah Jangan Menipu! - Aliff Aziz

Artikel Berikut

Siapa Lelaki Bertopeng Hitam Di ASK2017?

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel