suria

Buku Eksklusif Filem J Revolusi Kini Di Pasaran

Zul Ariffin teruja dengan penerbitan buku eksklusif J Revolusi yang kini sudah berada di pasaran. Foto THE STAR/ SYED AZAMUDDEN

PELAKON Zul Ariffin berasa teruja apabila buku yang diterbitkan untuk filem box office J Revolusi edisi terhad kini sudah berada di pasaran.

Zul, 31, berkata, dia berbangga dengan penghasilan buku tersebut yang baginya merupakan buah tangan eksklusif untuk penonton dan khusus buat peminatnya.

"Saya teruja dan berbangga dengan penghasilan buku eksklusif ini dan berharap peminat suka dengan buah tangan terbaharu dari produksi J Revolusi.

"Walaupun filem ini sudah ditayangkan sejak 2 Mac lalu, namun impak dan sokongan penonton masih lagi ada," katanya kepada mStar Online.

Zul Ariffin ditemui ketika pelancaran Buku Filem J Revolusi Edisi Terhad di Popular Bookstore, di Sunway Pyramid, Selangor, pada Sabtu.

Zul Ariffin selaku pelakon utama filem J Revolusi teruja dengan penghasilan buku tersebut.

Filem J Revolusi mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM7.2 juta itu diterbitkan oleh Primeworks Studio.

Bagi penghasilan buku ini, Primework Studio dan Infinitus Production bekerjasama dengan Kadokawa Gempak Starz.

Dalam pada itu, biarpun tidak terbabit dalam penghasilan buku tersebut, Zul berkata, dia menyertai rangka promosi yang dijalankan pihak penerbit.

Katanya, sebagai artis dia perlu menunjukkan komitmen dan membantu daripada sudut publisiti, tambahan pula dia merupakan peneraju utama filem arahan Zulkarnain Azhar.

Zul Ariffin dan pelukis komik Wilson Lew memberi autograph istimewa untuk pembeli buku J Revolusi di Popular Bookstore, Petaling Jaya, baru-baru ini.

"Sebagai selebriti, saya perlu memberi komitmen untuk sebarang aktiviti berkaitan kerjaya seni.

"Sejujurnya, saya tak ambil apa untung pun untuk projek buku ini, memandangkan buku ini dihasilkan untuk peminat J Revolusi, saya sanggup turun padang bertemu mereka yang masih menyokong," katanya.

Selain temubual eksklusif bersama pelakon filem, buku ini turut mengandungi komik istimewa yang dilukis oleh artis komik terkenal, Wilson Lew.

Buku tersebut boleh didapati secara eksklusif di Popular Bookstore  dan kedai buku terpilih dengan harga RM15 sahaja.

Zul Ariffin, J Revolusi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain