suria

Hanna Aqeela Tak Perlu Raih Populariti Mendadak

Hanna Aqeela tidak mahu meraih populariti secara mendadak.

PELAKON baharu Hanna Aqeela memberitahu dia tidak mahu meraih populariti secara mendadak sebaliknya lebih selesa menjalani proses belajar dalam bidang lakonan terlebih dahulu.

Hanna atau Hanna Aqeela Mohd Rosni, 27, berkata, dia percaya perjalanan yang lambat pasti membuahkan hasil yang lebih baik di kemudian hari.

"Saya tiada masalah lambat popular kerana saya masuk dalam industri pun tiada sebarang asas lakonan.

"Sekarang baru tiga tahun, tidak mengapa kalau ada yang belum mengenali saya. Kata orang lambat naik, lambat turun juga," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon ini bagaimanapun mengakui rezekinya dalam industri semakin banyak dan mula dikenali dalam kalangan produksi.

Hanna muncul dengan filem pertamanya Dubai My Love.

"Buat masa ini kita berserah kepada rezeki, apa yang penting tawaran sentiasa ada dan tidak putus," ujarnya yang bakal ke Mesir untuk penggambaran sebuah drama RTM.

Dalam pada itu, bercerita tentang filem pertamanya berjudul Dubai My Love, Hanna berkata, cabaran utama ialah terpaksa membawa dua karakter berbeza.

Kata Hanna, dia berharap lakonannya dalam filem ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat.

"Ini merupakan antara lakonan awal ketika saya menceburi bidang lakonan dan cabaran utama ialah bawa dua karakter.

"Selain itu cuaca yang terlalu sejuk juga membuatkan semuanya perlu dibuat dengan pantas," ujarnya.

Filem Dubai My Love yang turut dilakonkan oleh Putri Najwa dan Erwin Dawson ditayangkan di pawagam sejak 26 Oktober lalu.

Hanna Aqeela, Dubai My Love

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain