suria

Ada Pihak Ambil Kesempatan Pada To'ki

To'Ki tidak mahu mengambil peduli mengenai perkara tersebut.

SELEPAS terpalit dengan beberapa kontroversi sebelum ini, penyanyi era 90-an To'ki mengakui ada pihak yang cuba mendekati dirinya untuk mengambil kesempatan.

To'ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur berkata,  dia bagaimanapun enggan ambil pusing mengenai perkara itu kerana memikirkan industri seni hiburan tempatan tidaklah sebesar mana. 

"Ada pihak yang mendekati saya sebelum ini dengan niat nak membantu namun sebaliknya seperti ada agenda dan kepentingan lain.

"Saya tiada masalah dengan sesiapa dan tidak pernah menuntut apa-apa sebaliknya ada pihak yang menjanjikan itu dan ini kepada saya.  

"Samada tertunai atau tidak janji-janji itu, saya berserah sahaja, " katanya kepada mStar Online

To'ki Kesal Dituduh Menagih, Jadi Peminta Sedekah Baca

Penyanyi itu ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya Bayyati  di SEAMEX, Foyed Dewan Matrade,  Kuala Lumpur, pada Jumaat. 

To'ki pernah meluahkan kekecewaannya kerana dituduh masih mengambil barang terlarang selain turut dikatakan meminta belas ihsan orang sehingga mengemis. 

To'ki dan anaknya Nurnilam Kasih yang bersusia 10 tahun. 

Tuduhan itu bermula apabila sekeping gambarnya yang berada dalam keadaan kurang terurus di sebuah stesen minyak bersama seorang peminat menjadi tular di laman sosial sekitar Mei lalu. 

Dalam pada itu kata To'ki, 50, berkata, kehidupannya kini beransur baik setelah mengalami trauma apabila studio miliknya yang terletak di Batu Caves,  Gombak dirompak kira-kira tiga tahun lalu. 

Peristiwa itu jelas memberi tekanan tersendiri sehingga dirinya hampir hilang arah dan disifatkan sesetengah pihak kononnya dia menjalani kehidupan sebagai seorang gelandangan. 

"Saya bukan gelandangan seperti yang difikir sesetengah orang tetapi saya seorang pemuzik yang ikhlas berkarya dalam memartabatkan akar budaya lagu-lagu Melayu supaya terus segar sepanjang zaman," katanya. 

Menceritakan mengenai single terbarunya iaitu Bayyati,  kata To'ki ia dicipta pada tahun lepas dan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

"Ia sebuah lagu berunsur ketuhanan dan Bayyati itu sendiri adalah antara satu daripada tujuh bahasa taranum di mana orang kita cukup pakar dalam bacaan Bayyati ini," katanya.

Tambahnya lagi,  selepas Bayyati dia merancang untuk mengeluarkan single seterusnya berjudul Perunding Jiwa yang lebih mengetengahkan irama slow rock sepertimana lagu-lagu popularnya sebelum ini seperti Biasan dan Hampa. 

To'ki pernah mewakili negara dalam pertandingan lagu Asia di Hanoi pada 1993 dan berjaya mengangkat namanya sebagai juara.

To'ki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain