suria

Chacha Maembong Serius Cintai Pemuda Borneo

Chacha Maembong.

PELAKON Chacha Maembong memberitahu hubungan cintanya dengan pemuda Borneo iaitu Leslie semakin serius. 

Malah, Chacha atau nama sebenar Siti Aisyah Ismail, 21, berkata keluarga mereka berdua sudah pun mengenali antara satu sama lain. 

"Hubungan saya dan kekasih boleh dikatakan semakin serius. Saya dah berjumpa dengan keluarga dia dan begitu juga dengannya. 

"Alhamdulillah, keluarga kami memberi restu hubungan cinta ini. Tidak ada halangan biarpun saya dan dia berlainan agama," kata Chacha kepada mStar Online.

Tambah adik kepada pelakon Emma Maembong ini, mereka ada merancang untuk membawa hubungan tersebut ke peringkat seterusnya iaitu berkahwin.

mStar Default Image
Chacha Maembong semakin cantik.

Chacha juga berkata mereka ada berbincang mengenai keinginan jejaka tersebut untuk memeluk agama Islam. 

"Insya-Allah kalau ada jodoh kami memang ada perancangan untuk berkahwin. Saya dan Leslie pernah berbincang yang dia nak peluk agama Islam. 

"Namun, bukan dalam waktu terdekat ini. Saya pun masih lagi muda dan perjalanan karier masih panjang. 

"Lagipun biarlah Emma berkahwin terlebih dahulu. Saya tak mahu langkah bendul," ujarnya. 

Chacha dan Leslie sudah menjalinkan hubungan cinta hampir setahun. Mereka berkenalan melalui rakan pada tahun lalu.

Chacha dan kekasihnya iaitu Leslie yang mempunyai darah keturunan dari Sabah dan Sarawak. 

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Pantai Timur ini berkongsi pengalaman bekerja dengan pelakon Bollywood iaitu Gulshan Grover dan Farida Jalal menerusi filem terbaru lakonannya I'm Not A Terrorist. 

"Apabila saya dapat tawaran berlakon bersama bintang terkenal Bollywood memang sangat teruja dan dalam waktu yang sama ada juga perasaan takut. 

"Mana tidaknya, saya hanya pelakon biasa yang baru nak membina nama dalam industri.  Manakala mereka antara nama yang besar dalam dunia Bollywood.

"Tapi bekerjasama dengan mereka sangat seronok. Gulshan banyak membantu saya dalam menjiwai watak dan Farida pula sentiasa memberi tunjuk ajar," katanya. 

Filem arahan Arjin Uppal ini juga dibintangi pelakon Bollywood Rahul Dev dan diterajui pelakon utama dari Malaysia, Afiq Muiz yang bakal ditayangkan pada 5 Oktober depan. 

Chacha Maembong

Artikel Berikut

Artikel Lain